Kereta ditinggalkan bukan kereta curi: KP Johor

Rakaman video yang tersebar di media sosial semalam.
A
A

JOHOR BAHRU - Kereta Proton Wira warna kelabu yang dirampas selepas ditinggalkan dua suspek Taman Murni Jaya, Layang-Layang, Kluang tidak pernah dilaporkan dicuri.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, pihaknya telah mengesan pemilik kenderaan terbabit dan usaha mengesan dua suspek yang meloloskan diri masih giat dijalankan.

"Polis tahan kereta itu tapi mereka pecut laju hingga berlaku adegan mengejar. Polis ambil tindakan untuk lepaskan tembakan untuk berhentikan kereta tu namun terus dipandu menuju ke kawasan kelapa sawit dan berjaya meloloskan diri.

"Sekarang ini kenderaan telah dirampas dan masih dalam siasatan bagi mengesan pemandu. Kita telah mengesan pemilik kenderaan ini.

"Kenderaan tersebut tidak dilaporkan curi dan setakat ini tiada apa-apa yang menyalahi undang-undang dijumpai dalam kenderaan tersebut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Meskipun tidak ada sebarang kesalahan dikesan pada kenderaan, namun Mohd Khalil berkata, dua suspek itu perlu dikesan kerana ingkar arahan polis.

"Tapi akibat daripada perbuatan memandu secara melulu dan membahayakan orang lain juga tidak mengikut arahan polis untuk berhenti jadi kita perlu mengesan mereka untuk mengetahui penglibatan mereka dalam apa-apa jenayah atau tidak," katanya.

Semalam, tular video berdurasi 10 saat membabitkan aksi polis mengejar suspek yang menaiki Proton Wira di lampu isyarat pekan Kelapa Sawit.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, anggota kereta peronda polis (MPV) menahan kereta itu yang dalam keadaan mencurigakan di Jalan Persiaran Sri Putri, Kulai.

"Ketika tiba di lampu isyarat pekan Kelapa Sawit, kenderaan suspek mengancam anggota bertugas hingga boleh mengancam keselamatan dan nyawa.

"Anggota bertindak melepaskan satu das tembakan ke arah kenderaan suspek namun suspek berjaya meloloskan diri masuk dalam semak.

"Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dam kejadian itu," katanya.