Penduduk resah isu hakisan longkang monsun tidak selesai

Hakisan tanah menyebabkan struktur longkang monsun berkenaan runtuh dan dapat mengundang risiko bahaya buat penduduk setempat di sini.
Hakisan tanah menyebabkan struktur longkang monsun berkenaan runtuh dan dapat mengundang risiko bahaya buat penduduk setempat di sini.
A
A
A

SUBANG - Isu hakisan tebing longkang monsun berhampiran kawasan Lot 3373, Jalan Tembusu Kampung Melayu Subang semakin membimbangkan susulan hujan lebat yang melanda sejak kebelakangan ini.

Menerusi tinjauan Sinar Harian, keadaan hakisan itu menyebabkan runtuhan pada tebing berkenaan ekoran keadaan air deras yang disalirkan pada longkang tersebut.

Menurut seorang pengusaha bengkel di sini, Zainuddin Deraman,47, keadaan hujan sejak kebelakangan ini menyebabkan kapasiti air longkang berkenaan bertambah sekali gus menyebabkan struktur tanah di sini semakin lemah.

"Berikutan itulah keadaan runtuhan ini semakin bahaya malah turut menyebabkan bengkel dan penempatan penduduk di sini terjejas," katanya ketika ditemui Sinar Harian, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Longkang monsun runtuh bukan bawah seliaan JPS

Terdahulu, Sinar Harian ada melaporkan mengenai kejadian runtuhan tebing pada longkang monsun berkenaan yang mengundang risiko bahaya buat penduduk setempat di sini sejak beberapa bulan lalu.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Petaling sebelum ini turut memaklumkan bahawa longkang berkenaan berada di bawah seliaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan permasalahan itu juga telah dipanjangkan kepada pihak berkenaan.

Difahamkan MBSA telah mengadakan lawatan di lokasi berkenaan sebelum ini bersama pakar perunding bagi menyelesaikan permasalahan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Keadaan hujan sejak kebelakangan ini menyebabkan arus dalam longkang monsun itu semakin deras dan melemahkan struktur tanah. (Kanan: Keadaan hakisan pada longkang yang terletak berhampiran Jalan Tembusu semakin menghampiri kediaman penduduk di sini.)
Keadaan hujan sejak kebelakangan ini menyebabkan arus dalam longkang monsun itu semakin deras dan melemahkan struktur tanah. (Kanan: Keadaan hakisan pada longkang yang terletak berhampiran Jalan Tembusu semakin menghampiri kediaman penduduk di sini.)

Mengulas lanjut, Zainuddin berkata, walaupun isu itu sudah mendapat perhatian pihak bertanggungjawab, namun tiada sebarang langkah penyelesaian diambil sehingga kini.

"Saya dimaklumkan MBSA sudah dimaklumkan mengenai permasalahan ini namun saya tak nampak sebarang perkembangan positif dilaksanakan oleh pihak berkenaan," katanya.

Sementara itu, Hafnizani Abu Hamifah, 39, berkata pihaknya berharap agar isu itu dapat diselesaikan dengan segera khususnya menjelang perayaan ini tidak lama lagi

Ujarnya, penduduk di sini dibelenggu keresahan dengan isu itu yang dilihat mampu mengancam nyawa orang awam sekiranya tiada langkah penyelesaian segera diambil.

"Kami tak mahu tuding jari kepada sesiapa namun penduduk hanya harapkan agar permasalahan ini dapat diatasi segera.

"Isu ini agak serius kerana ia melibatkan hakisan yang semakin menjejaskan kediaman penduduk dan beberapa bengkel di kawasan ini," katanya.