Saman fitnah Sultanah Zahirah, Clare ditetap 30 Januari

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 30 Januari hadapan untuk pengurusan kes saman difailkan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah terhadap pengasas dan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dan dua lagi berhubung kenyataan fitnah dalam buku ‘The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose’.

Peguam Vishu Kumar, yang mewakili Sultanah Nur Zahirah ketika ditemui pemberita berkata tarikh itu ditetapkan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim ketika sebutan kes itu di dalam kamarnya hari ini.

Vishu, yang juga menyebut bagi pihak peguam mewakili Clare berkata mahkamah turut mengarahkan kedua-dua pihak untuk memfailkan dokumen berkaitan sebelum tarikh pengurusan kes berkenaan.

Peguam itu juga memaklumkan bahawa pihak defendan telah memfailkan penyataan pembelaan mereka pada 5 Disember lepas.

Sultanah Nur Zahirah, selaku plaintif memfailkan saman itu pada 21 November lepas dengan menamakan Clare atau nama sebenarnya Clare Louis Brown, penerbit Gerakbudaya Enterprise Chong Ton Sin dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Berdasarkan writ saman dan penyata tuntutan yang diperoleh melalui carian sistem mahkamah, Sultanah Nur Zahirah mendakwa Clare mengeluarkan kenyataan dalam buku bertajuk ‘The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose’ sekitar Ogos lepas dan buku berkenaan dicetak oleh Vinlin.

Sultanah Nur Zahirah mendakwa kenyataan fitnah itu membawa maksud bahawa plaintif terlibat dalam amalan rasuah dan mencampuri urusan pentadbiran Negeri Terengganu serta menggunakan peranannya untuk mempengaruhi penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA) dan menolong Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho bagi mendapatkan peranan sebagai penasihat di TIA.

Dakwanya, kenyataan itu adalah fitnah kerana plaintif tidak pernah melibatkan diri dengan urusan pentadbiran Kerajaan Negeri dan penubuhan TIA selain mendakwa kenyataan itu memalukan dan menjatuhkan reputasi plaintif pada pandangan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Sultanah Nur Zahirah bertitah adalah suatu fakta diketahui umum bahawa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum ini dikenali sebagai TIA.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta daripada setiap defendan dan menuntut defendan kedua menarik balik buku yang mengandungi kenyataan fitnah itu serta memohon defendan ketiga menghenti pencetakan lanjut salinan buku berkenaan.

Dalam penyataan pembelaan, ketiga-tiga defendan menafikan ada membuat tuduhan bahawa plaintif terbabit dengan amalan rasuah.

Clare juga mendakwa Sarawak Report tidak pernah mencadangkan plaintif terlibat dalam konspirasi membabitkan Jho Low dan tidak mencadangkan plaintif terlibat dalam pentadbiran kerajaan dalam urusan 1MDB. - Bernama