Kerajaan peruntuk bajet baiki jalan runtuh

Zamri menjelaskan sesuatu kepada penduduk berkaitan projek berkenaan.
Zamri menjelaskan sesuatu kepada penduduk berkaitan projek berkenaan.
A
A
A
KUALA KETIL - Kerajaan negeri menyediakan sejumlah peruntukan bagi membina semula jalan utama di Kampung Lahar Parang yang runtuh, 20 November lalu.

Exco Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Ir. Zamri Yusof berkata, peruntukan itu antaranya melibatkan kerja-kerja pembentung, pengukuhan tebing dan baik pulih jalan serta mengekalkan laluan alternatif dibina Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum ini.

Menurutnya, projek itu akan dilaksanakan melalui tender terbuka dengan menyediakan pembentung kekotak bersaiz tiga meter.

"Saiz pembentung sekali ganda lebih besar daripada asal dan ia satu langkah mengatasi masalah runtuhan pada masa akan datang.

"Dua hari telah diadakan lawatan tapak dan terdapat 88 syarikat G2 berminat dengan projek ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di lokasi runtuhan jalan raya Kampung Lahar Parang, hari ini.

Zamri berkata, tarikh tutup ialah pada 24 Disember ini dan kontraktor-kontraktor perlu menyediakan dokumen tender kepada Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Kita nak proses cepat dan lakukan penilaian sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata, kontraktor diberikan masa selama lapan minggu untuk menyiapkan projek.
Artikel Berkaitan:


"Kita sasar pada 1 Januari depan boleh mula kerja, kita beri masa lapan minggu kepada kontrakror untuk siapkan. Jika lebih cepat lebih baik.

"Tarikh siap projek ini dijangka pada 25 Februari depan. Kontraktor berminat diharap memberi komitmen sepenuhnya," katanya.

Tambahnya, peruntukan turut disalurkan di Kampung Padang Belon bagi memperbaiki runtuhan tebing.