‘Pikul tugas yang belum selesai’

Mohd Shukri memegang amanah untuk membersihkan negara daripada terpalit penyelewengan dan salah guna kuasa.
Mohd Shukri memegang amanah untuk membersihkan negara daripada terpalit penyelewengan dan salah guna kuasa.
A
A
A

DATUK Seri Mohd Shukri Abdull bersara wajib dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 4 Oktober 2016 dengan jawatan terakhirnya ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi).

Pada 18 Mei 2018, beliau kembali semula ke SPRM sebagai Ketua Pesuruhjaya yang baharu menggantikan Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang membuat pengumuman itu berkata, Mohd Shukri dilantik menerajui SPRM kerana mempunyai kredibiliti, selain menunjukkan tentangan kepada Datuk Seri Najib Razak (dalam siasatan berkaitan rasuah) sebelum ini dan beliau juga berpengalaman serta mempunyai banyak maklumat.

Dalam pertemuan dengan wartawan Sinar Harian, Nurul Riduan Nor Ashaha di Putrajaya baru-baru ini sempena setahun menerajui SPRM, Mohd Shukri mengakui beliau berasa puas dapat meneruskan ‘tugas yang belum selesai’ sebelum ini.

"PADA 17 Mei lalu, genaplah setahun pelantikan rasmi saya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dengan keutamaan menyelesaikan ‘tugas yang belum selesai’.

Setelah setahun sembilan bulan meninggalkan SPRM, langkah pertama saya kembali ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika itu turut diiringi dengan 1,001 harapan, baik daripada masyarakat luar mahu pun pegawai SPRM sendiri. Suatu amanah yang cukup berat untuk dipikul bersendirian.

Harapan utama rakyat pasca pilihan raya ketika itu ialah bagi membersihkan nama Malaysia yang sudah terpalit dengan skandal rasuah mega serta pelbagai lagi penyelewengan dan salah guna kuasa.

Sebaik sahaja saya menjejak kaki ke Ibu Pejabat SPRM, saya memberi fokus kepada dua isu penting.

Artikel Berkaitan:

Pertama menyelesaikan masalah dalaman pegawai SPRM dengan menyatukan semua pegawai supaya bersatu hati, bersama-sama bekerja keras melaksanakan amanah mencegah rasuah dan salah guna kuasa demi negara.

Dalam perhimpunan pertama bersama pegawai SPRM, saya menasihati mereka agar tidak mewujudkan budaya berpuak-puak serta membodek.

Pesanan saya yang paling utama ialah menjaga solat bagi yang beragama Islam. Saya menekankan prinsip semua pegawai perlu menjaga disiplin sama ada semasa atau di luar tugas.

Kedua, menyelesaikan tugas saya yang belum sempat disiapkan semasa menjawat jawatan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM iaitu menyelesaikan dua kes berprofil tinggi, SRC International dan 1Malaysia Developement Berhad (1MDB).

Alhamdulillah, enam bulan pertama selepas kemasukan saya, kesungguhan semua peringkat pegawai SPRM telah membuahkan hasil kerana berjaya menyelesaikan dua kes utama iaitu SRC International dan 1MDB.

Di samping menyiapkan dua kes utama ini, SPRM juga berjaya menyiasat dan menyiapkan banyak kes besar lain yang melibatkan ramai golongan VVIP dan melibatkan rasuah dan penyelewengan bernilai berbilion ringgit.

Pertama kali dalam sejarah, pada tahun tersebut, SPRM telah menangkap seramai 30 ahli politik berprofil tinggi, 13 orang pengurusan tertinggi kerajaan, 20 ketua pegawai eksekutif (CEO) serta 132 individu daripada kumpulan pengurusan dan profesional.

Pada masa sama, SPRM juga berjaya menyita wang dan harta bernilai RM3 bilion yang disyaki hasil daripada rasuah dan salah guna kuasa.

Atas kejayaan ini, SPRM telah dianugerahkan oleh Global Investigation Review (GIR) yang berpengkalan di Washington, Amerika Syarikat sebagai ‘The Most Emerging Enforcement for 2018’.

Ini merupakan pengiktirafan tertinggi kepada SPRM dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa di negara ini daripada masyarakat antarabangsa.

Ia adalah catatan sejarah besar dalam liku-liku perjuangan SPRM sepanjang tempoh lebih lima dekad.

Satu lagi sejarah tercipta apabila peratusan kadar sabitan mahkamah bagi kes-kes rasuah dan salah guna kuasa pada tahun tersebut juga mencatatkan angka paling tinggi iaitu 91 peratus.

Secara tidak langsung, ia memberi petanda baik kerana masyarakat akan gerun dikenakan tindakan sekiranya mereka terlibat dengan jenayah tersebut.

Di samping itu juga, bagi sektor pencegahan, SPRM juga menganjurkan sebanyak 1,096 program pencegahan rasuah sepanjang 2018. Ia satu jumlah yang besar.

Namun begitu, saya juga akur bahawa pegawai SPRM bukanlah ahli silap mata yang mampu menghilangkan sesuatu sekelip mata sahaja. Rasuah yang sudah lama menular dalam kalangan masyarakat memang masih belum menemui titik noktahnya.

Bayangkan, masih ada segelintir masyarakat yang tidak tahu, tidak sedar atau tidak faham akibat buruk daripada perbuatan memberi dan menerima rasuah.

Malah ada pula yang memberi harapan terlalu tinggi kepada SPRM.

Jika ada kes, mereka mahu ia diselesaikan dengan segera sedangkan mereka harus faham bahawa untuk melakukan siasatan kes rasuah bukanlah sesuatu yang mudah.

SPRM menyiasat berdasarkan fakta dan kebenaran serta tidak boleh bergantung pada persepsi semata-mata.

Sebab itulah SPRM hari ini sedaya upaya mendapatkan sokongan dan kerjasama daripada orang ramai bagi memerangi rasuah.

SPRM perlukan kuasa rakyat. Rakyat perlu menolak rasuah sekeras-kerasnya.

Tanamkan perasaan sayangkan keluarga dan negara. SPRM berharap masyarakat akan menjadi mata dan telinga SPRM serta terus menyokong dan doakan SPRM agar terus istiqamah dalam mempertahankan kebebasannya.

Tanpa sokongan rakyat, usaha memerangi rasuah tidak akan berkesan. SPRM menerima secara terbuka sebarang teguran atau kritikan membina namun janganlah menghamburkan kritikan, cacian dan cemuhan tanpa fakta.

Mereka sepatutnya membenci dan marah kepada pelaku rasuah dan bukannya agensi yang mencegah rasuah.

Insya-ALLAH, saya bertekad tidak akan sesekali membenarkan sejarah hitam lama yang berlaku dalam negara ini berulang kembali.”