Kaji semula dasar kurnia tanah

A
A
A

KES-kes yang melibatkan penjualan atau pengambilan tanah oleh kerajaan lama Barisan Nasional (BN) sepatutnya menjadi petunjuk dan pengajaran kepada kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH).

Ini termasuklah pengambilan tanah swasta atau pengurniaan tanah kerajaan kepada raja-raja.

Misalnya sudah menjadi pengetahuan umum bahawa kerajaan BN Johor telah 'mengurniakan' banyak tanah untuk dijadikan tanah Sultan.

Selain itu, saya dimaklumkan yang kerajaan BN Pusat juga memberikan tanah nilai tinggi khususnya di Kuala Lumpur, kepada beberapa sultan dengan potongan harga hingga 90 peratus.

Inilah yang berlaku bermula tahun 2011 apabila kerajaan Pusat menerima permohonan daripada seorang sultan untuk mendapatkan sebidang tanah di Kuala Lumpur untuk mendirikan istana.

Ceritanya lebih kurang begini. Sultan berkenaan, melalui Setiausaha Sulitnya telah meminta tanah Kerajaan Persekutuan seluas kira-kira 14,000 meter persegi yang nilainya hampir RM30 juta.

Tetapi premium atau harga yang dikenakan tidak sampai RM6 juta atau potongan sekitar 80 peratus.

Kemudian sultan itu minta tambah hampir 10,000 meter persegi lagi yang penilaiannya kira-kira RM45 juta tetapi premium yang dikenakan hanya RM4.5 juta atau potongan 90 peratus. Jadi untuk tanah seluas lebih kurang 2.4 hektar itu, sultan tersebut hanya bayar kira-kira RM10 juta.

Artikel Berkaitan:

Saya dimaklumkan bukan seorang tetapi beberapa orang sultan yang membeli tanah kerajaan Pusat dengan harga murah. Anehnya, untuk tanah di kawasan sama, ada yang dibagi potongan besar dan kecil.

Pengurniaan dan penjualan tanah dengan harga di bawah nilai pasaran ini berlaku secara berleluasa pada zaman pemerintahan BN termasuk tanah milik tentera.

Kita juga telah mendengar untuk sekian lama bagaimana kerajaan BN menjual tanah milik negara di ibu negara kepada syarikat milik kerajaan dan swasta dengan potongan harga.

Malah dalam sesetengah urus niaga tersebut berlaku unsur-unsur rasuah dan manipulasi harga yang sedang diambil tindakan undang-undang sekarang.

Ini termasuk kes melibatkan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor yang telah pun dihadapkan ke mahkamah.

Kemudian berlaku pengambilan tanah milik peribadi, perseorangan atau syarikat oleh kerajaan atas pelbagai alasan.

Pada mulanya, sasaran utama adalah tanah rizab Melayu kerana nilainya rendah, keluasannya besar dan pemilik kurang upaya untuk membantah.

Apabila tanah rizab Melayu berkurangan atau tidak sesuai, tanah milik orang perseorangan dan syarikat, khususnya syarikat perladangan menjadi sasaran.

Kalau tanah perseorangan atau milik syarikat perladangan diambil untuk kegunaan awam seperti membina sekolah, hospital dan jalan raya dan dibayar harga kerajaan, saya rasa ia tidak menimbulkan masalah atau bangkangan.

Pertahan hak

Yang menjadi masalah sekarang ialah kerajaan ambil alih tanah swasta menggunakan Akta Pengambilan Tanah bukan untuk kegunaan awam tetapi perniagaan.

Inilah yang berlaku di Melaka baru-baru ini, apabila kerajaan negeri cuba mengambil alih tanah milik Ladang Sime Darby (SDP) menggunakan Akta Pengambilan Tanah dan membayar harga di bawah harga pasaran.

Tanah itu untuk sebuah projek perdagangan tajaan pelabur Taiwan. Dalam kes mahkamah yang dibawa SDP bagi mempertahankan haknya, nama seorang sultan dikaitkan sebagai penyokong projek itu. Ironinya Melaka tiada sultan.

Alhamdulillah, SDP milik Permodalan Nasional Berhad (PNB) membantah dan membawa kes itu ke mahkamah. Saya difahamkan ia mendapat keputusan positif.

Bagi saya, ini amat tidak patut apatah lagi berlaku pada zaman PH dan di bawah kerajaan negeri pimpinan PH. SDP ini milik PNB dan PNB, melalui skim amanah sahamnya adalah milik rakyat jelata.

Amalan memberi tanah kepada sultan secara percuma atau dengan harga murah dan mengambil alih tanah swasta secara sewenang-wenangnya wajib tidak diamalkan oleh kerajaan PH.

Tanah yang diambil alih oleh kerajaan, tidak kira Pusat atau negeri untuk tujuan perniagaan wajiblah pada harga pasaran.

Adalah tidak masuk akal mengambil tanah sebuah syarikat tempatan seperti SDP dengan harga murah untuk diberikan kepada sebuah syarikat asing.

Malah tanah yang telah diberikan kepada raja-raja dengan harga lelong pun patut dinilai semula di dalam keadaan di mana kerajaan tidak pun mempunyai tanah yang cukup untuk membina rumah mampu milik dan rumah rakyat miskin.

Ingatlah prinsip Rukun Negara mengikrarkan kesetiaan kepada raja dan negara atas dasar keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang untuk semua. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara