1MDB: Roger Ng didakwa 4bersubahat dengan Goldman Sachs

A
A

KUALA LUMPUR - Bekas pegawai bank Goldman Sachs International, Roger Ng Chong Hwa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs berhubung penjualan Nota-nota Terjamin anak syarikat 1Malaysian Development Berhad (1MDB) berjumlah AS$6.5 bilion dengan meninggalkan fakta-fakta material dan membuat penyataan tidak benar.

Bagaimanapun, Ng, 46, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mahkamah membenarkan Ng diikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin bagi semua pertuduhan dan memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan 18 Mac 2019 ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup menawarkan jaminan RM1 juta dengan dua penjamin bagi semua pertuduhan manakala Ng yang diwakili Datuk Tan Hock Chuan memohon jumlah jaminan yang rendah dalam lingkungan RM600,000.

“Saya tiada halangan untuk anak guam saya serahkan pasport kepada mahkamah,” kata Tan dan Manoj kemudiannya membalas: “ini bukan kes biasa”.

Mengikut pertuduhan pertama, syarikat Goldman Sachs International (diperbadankan di United Kingdom) didakwa, sebagai Pengurus dan Pengaturcara bagi penjualan Nota-Nota Terjamin Matang 2022 bernilai AS$1.75 bilion dengan kadar faedah 5.99 peratus, yang akan diterbitkan oleh 1MDB Energy Limited (diperbadankan di Wilayah Persekutuan Labuan, Malaysia), antara 19 Mac 2012 dan 25 September 2012 di 1Malaysia Development Berhad (1MDB), di Aras 8, Menara IMC, No. 8, Jalan Sultan Ismail, di sini, secara langsung berkaitan dengan penjualan Nota-nota tersebut dan telah meninggalkan daripada menyatakan fakta-fakta material, iaitu:

(i) seorang yang bernama Low Taek Jho ,37, adalah pengendali dan perantara utama bagi 1MDB, iaitu syarikat induk 1MDB Energy Limited;

(ii) 1MDB Energy Limited and Aabar Investments P.J.S. Limited (Aabar Limited) telah menandatangani satu “Collaboration Agreement For Credit Enhancement” bertarikh 21 Mei 2012 di mana 1MBD Energy Limited telah bersetuju untuk membayar Aabar Limited satu penambahan kredit dan sumbangan penaja jaminan secara tunai (Cagaran Peningkatan Kredit) sebagai ganjaran kepada Aabar Limited mendapat satu jaminan daripada International Petroleum Investment Company P.J.S.C. (IPIC), bagi pihak 1MDB Energy Limited, yang menjamin Nota-nota tersebut, dan Cagaran Peningkatan Kredit tersebut akan dibayar daripada hasil terbitan Nota-nota tersebut;

(iii) 1MDB Energy Limited dan Aabar Limited telah menandatangani “Option Agreement” bertarikh 18 Mei 2012 di mana 1MDB Energy Limited telah memberi Aabar Limited satu opsyen untuk membeli sehingga 49 peratus daripada saham-saham yang dimiliki oleh 1MDB Energy Limited di dalam 1MDB Energy Sdn Bhd, sebagai ganjaran kepada Aabar Limited untuk mendapat IPIC sebagai penjamin untuk menjamin pembayaran kesemua jumlah yang dinyatakan perlu dibayar dari semasa ke semasa oleh 1MDB Energy Limited berkaitan dengan Nota-Nota tersebut; dan

(iv) 1MDB dan IPIC telah menandatangani satu “InterGuarantor Agreement” bertarikh 21 Mei 2012 di mana 1MDB telah menaja jamin sepenuhnya kesemua amaun yang perlu dijelaskan dan dibayar di bawah Nota-nota tersebut, termasuk kesemua kos, perbelanjaan, ganti rugi, liabiliti yang ditanggung atau dialami oleh IPIC, dan sekiranya 1MDB tidak mampu memenuhi obligasi-obligasi penaja jamin tersebut, 1MDB akan mendapatkan Kementerian Kewangan Diperbadankan untuk memberi pembiayaan yang perlu dan sokongan untuk membayar balik IPIC sepenuhnya, yang perlu bagi menjadikan pernyataan-pernyataan yang dibuat di dalam Pekeliling Tawaran bertarikh 18 Mei 2012 bagi Nota-nota tersebut, iaitu:

(i) pernyataan-pernyataan berkenaan “MANAGEMENT OF 1MDB GUARANTOR” yang dibuat pada muka surat-muka surat 50-52;

(ii) pernyataan-pernyataan berkenaan “USE OF PROCEEDS” yang dibuat pada muka surat 29;

(iii) pernyataan-pernyataan berkenaan “Strategic alliance between 1MDB Guarantor and IPIC Group” yang dibuat pada muka surat 37;

(iv) pernyataan-pernyataan berkenaan “Guarantee and Status” yang dibuat pada muka surat-muka surat 96 dan 97;

Oleh yang demikian Goldman Sachs International telah melakukan satu kesalahan di bawah subseksyen 179(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 yang boleh dihukum di bawah seksyen 182 akta sama, dan bahawa, Ng telah bersubahat dengan Goldman Sachs International melakukan kesalahan tersebut, di mana kesalahan tersebut telah dilakukan hasil daripada persubahatan tertuduh,

Ng didakwa melakukan kesalahan itu di tempat sama di 1MDB, di sini antara 19 Mac 2012 dan 25 September 2012.

Bagi pertuduhan kedua syarikat Goldman Sachs International didakwa sebagai Pengurus dan Pengaturcara bagi penjualan US$3 bilion pada kadar faedah 4.4 peratus Nota-Nota Terjamin Matang 2023 yang akan diterbitkan oleh 1MDB Global Investments Limited (diperbadankan di British Virgin Islands) (1MDB GIL), secara langsung berkaitan dengan penjualan Nota-nota tersebut, membuat pernyataan berikut yang tidak benar mengenai sesuatu fakta material di dalam Pekeliling Tawaran bertarikh 16 Mac 2013 bagi Nota-nota tersebut iaitu :

“The Issuer will either on-lend all of the net proceeds of this Offering to ADMIC or use the net proceeds of the offering to fund its investment in ADMIC, which will be a 50:50 joint venture between the Issuer and Aabar.” yang dibuat pada muka surat 24 di bawah tajuk “USE OF PROCEEDS”,.

Oleh itu, syarikat tersebut telah melakukan satu kesalahan di bawah subseksyen 179(c) akta sama yang boleh dihukum di bawah seksyen 182 akta serupa, dan bahawa Ng telah bersubahat dengan Goldman Sachs International melakukan kesalahan tersebut, di mana kesalahan tersebut telah dilakukan hasil daripada persubahatan tertuduh.

Ng didakwa melakukan kesalahan itu di tempat sama di sini antara 12 Mac 2013 dan 11 November 2013, mengikut Subseksyen 370(c) dibaca bersama Subseksyen 179(c) yang boleh dihukum dibawa seksyen 182 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan didenda tidak kurang daripada RM1juta, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan ketiga, menyatakan bahawa Goldman Sachs International sebagai Pengaturcara bagi penjualan US$1.75 bilion pada kadar faedah 5.75 peratus Nota-Nota Terjamin Matang 2022 yang akan diterbitkan oleh 1MDB Energy (Langat) Limited antara 10 Ogos 2012 dan 17 Okt 2012, di tempat sama, secara langsung berkaitan dengan penjualan Nota-nota tersebut, telah meninggalkan daripada menyatakan fakta-fakta material, iaitu:

(i) seorang yang bernama Low Taek Jho adalah pengendali dan perantara utama bagi 1MDB, iaitu syarikat induk 1MDB Energy (Langat) Limited;

(ii) 1MDB Energy Holdings Limited dan Aabar Investments P.J.S. Limited (Aabar Limited) telah menandatangani satu “Collaboration Agreement For Credit Enhancement” bertarikh 19 Oktober 2012 di mana 1MDB Energy Holdings Limited telah bersetuju untuk mendapatkan 1MDB Energy (Langat) Limited untuk membayar Aabar Limited satu penambahan kredit dan sumbangan penaja jaminan secara tunai (Cagaran Peningkatan Kredit) sebagai ganjaran kepada Aabar Limited mendapat satu jaminan daripada International Petroleum Investment Company P.J.S.C. (IPIC), bagi pihak 1MDB Energy (Langat) Limited, yang menjamin Nota-Nota tersebut, dan Cagaran Peningkatan Kredit tersebut akan dibayar daripada hasil terbitan Nota-nota tersebut; dan

(iii) 1MDB Energy (Langat) Limited dan Aabar Investments PJS telah menandatangani satu “Collaboration Agreement (Option)” bertarikh 17 Oktober 2012 di mana 1MDB Energy (Langat) Limited telah memberi Aabar Investments PJS satu opsyen untuk membeli sehingga 49 peratus daripada saham-saham yang dimiliki oleh 1MDB Energy (Langat) Limited di dalam 1MDB Energy Langat Sdn Bhd, sebagai ganjaran kepada Aabar Investments PJS untuk mendapat IPIC sebagai penjamin untuk menjamin pembayaran kesemua jumlah yang dinyatakan perlu dibayar dari semasa ke semasa oleh 1MDB Energy (Langat) Limited berkaitan dengan Nota-nota tersebut,

Ia bagi menjadikan pernyataan yang dibuat dalam Memorandum Penempatan Tertutup bertarikh 17 Oktober 2012 bagi Nota-Nota itu, iaitu:

(i) pernyataan-pernyataan berkenaan “MANAGEMENT OF THE GUARANTOR” yang dibuat pada muka surat-muka surat 48 ke 51;

(ii) pernyataan-pernyataan berkenaan “USE OF PROCEEDS” yang dibuat pada muka surat 20;

(iii) “In connection with the strategic alliance that the Guarantor has with the IPIC Group, the Issuer has granted a call option in favour of the Nominated Subsidiary or its subsidiaries in relation to certain of the shares the Issuer holds in 1MDB Energy (Langat) (the 1MDB Energy (Langat) Call Option Shares)” yang dibuat pada muka surat 30; dan

(iv) “The Notes have the benefit of a guarantee from 1Malaysia Development Berhad, a company incorporated in Malaysia with limited liability and which is wholly-owned by the Government of Malaysia (the “Guarantor”) under which the Guarantor unconditionally and irrevocably guarantees the payment of all sums expressed to be payable from time to time by the Issuer.” yang dibuat pada muka surat 61.

Oleh itu, syarikat tersebut melakukan kesalahan di bawah subseksyen sama, dan Ng, telah bersubahat dengan Goldman Sachs International melakukan kesalahan tersebut, mengikut seksyen serupa.

Bagi pertuduhan keempat, Goldman Sachs International sebagai Pengurus dan Pengaturcara bagi penjualan AS$3 bilion pada kadar faedah 4.4 peratus Nota-Nota Terjamin Matang 2023 yang akan diterbitkan oleh 1MDB GIL, antara 12 Mac 2013 dan 11 November 2013, di pejabat 1MDB di sini, secara langsung berkaitan dengan penjualan Nota-nota tersebut, telah meninggalkan daripada menyatakan fakta material, iaitu:

1. seorang yang bernama Low adalah pengendali dan perantara utama bagi 1MDB, iaitu syarikat induk 1MDB GIL, yang perlu bagi menjadikan pernyataan yang dibuat di dalam Pekeliling Tawaran bertarikh 16 Mac 2013 bagi Nota-nota tersebut, iaitu, pernyataan berkenaan “Management of 1MDB” dan “Corporate Governance of 1MDB” yang dibuat pada muka surat-muka surat 37 ke 39. - Bernama

.

Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia