KPLB tambah 300 lagi rumah PPRT

Rina menyampaikan watikah pelantikan MPKK kepada wakil lapan daerah di negeri ini pada majlis penyerahan watikah itu di di Pusat Komuniti Desa (PKD) Terengganu, Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) Dungun hari ini.
Rina menyampaikan watikah pelantikan MPKK kepada wakil lapan daerah di negeri ini pada majlis penyerahan watikah itu di di Pusat Komuniti Desa (PKD) Terengganu, Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) Dungun hari ini.
A
A
A

DUNGUN - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dapat membina tambahan 300 lagi rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) menggunakan peruntukan sedia ada berjumlah RM200 juta hasil penggunaan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang menjimatkan.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, penjimatan itu membolehkan kementeriannya membina sebanyak 1,834 buah rumah berbanding sasaran sebelum ini sebanyak 1,534 buah rumah baharu.

Beliau berkata, pembinaan berkonsepkan teknologi IBS itu mampu menjimatkan sehingga 18 peratus peruntukan yang disasarkan tanpa menjejaskan kualiti dan saiz rumah terbabit.

"Sebelum ini timbul desas-desus kononnya kerajaan akan menghentikan pembinaan rumah PPRT ini, namun sebenarnya ia tidak benar kerana kita masih teruskan pembinaan rumah PPRT ini.

"Walaupun peruntukan yang kita terima tahun ini berkurangan berbanding tahun lalu, tapi kementerian sentiasa proaktif dan inovatif dengan mengguna pakai teknologi IBS dalam pembinaan hingga kita mampu membina tambahan 300 buah rumah baharu untuk tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) negeri Terengganu di Pusat Komuniti Desa (PKD) Terengganu, Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) Dungun hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan merangkap Penyelaras MPKK Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Zulkifli Mohamad.

Rina memberitahu, jumlah 1,834 rumah PPRT baharu untuk tahun ini adalah perkembangan yang agak baik kerana pada tahun lalu hampir 2,000 buah rumah PPRT baharu dibina menggunakan peruntukan yang lebih tinggi berbanding tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, menerusi peruntukan RM200 juta itu juga, kementeriannya juga turut membaik pulih hampir 10,000 buah rumah di seluruh negara yang dijangka akan siap sepenuhnya akhir tahun ini.

Sementara itu, Rina berkata, Lembaga Kemajuan Wilayah luar bandar turut menyediakan Rumah Mampu Milik (RMM) kepada golongan belia di kawasan luar bandar.

"Bagaimanapun, pihak kami menerima banyak rungutan daripada pemohon bahawa pinjaman mereka tidak diluluskan kerana ada syarat ketat yang dikenakan institusi pinjaman.

"Jadi saya berharap pihak Bank Negara Malaysia (BNM) dapat memberi kelonggaran supaya golongan belia ini yang baharu nak membina kehidupan, baharu nak jana pendapatan agar dapat memiliki rumah terbabit," katanya.

Dalam pada itu, Rina berkata, seramai 2,034 ahli jawatankuasa tambahan MPKK dilantik di seluruh negeri Terengganu sebagai wakil Kerajaan Persekutuan.

"Bagi merealisasikan aspirasi kerajaan, kementerian mewujudkan lima jawatan tambahan dalam MPKK bagi negeri-negeri yang tidak ditadbir Kerajaan Persekutuan.

"Diharapkan ahli majlis ini menjadi mata dan telinga kepada kerajaan pusat dan menyampaikan dasar-dasar kerajaan pusat ke akar umbi," katanya.

Kata beliau, jawatan tambahan itu melibatkan portfolio biro khusus iaitu Biro Perpaduan, Biro Kesejahteraan dan Keceriaan, Biro Ekonomi dan Keusahawanan dan Biro Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Biro Pembangunan Prasarana.