11 individu ditahan ceroboh Taman Negara

Dr Xavier Jayakumar
Dr Xavier Jayakumar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menahan sembilan warga asing dan dua warga tempatan kerana menceroboh Taman Negara dan menyimpan pelbagai bahagian hidupan liar sepanjang bulan lepas.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, tangkapan dilakukan di beberapa lokasi seluruh negara iaitu di Taman Negara Terengganu (tiga tangkapan); Hutan Simpan Sungai Yu, Pahang (empat tangkapan); Ladang Kim Sam, Gua Musang, Kelantan (dua tangkapan) dan Hutan Simpan Lesong, Rompin, Pahang (dua tangkapan warga tempatan).

Katanya, kesemua mereka disiasat kerana memburu dan menyimpan pelbagai bahagian hidupan liar tanpa kebenaran Perhilitan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

“Perhilitan akan menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap semua barang kes yang disita untuk mengesahkan spesies hidupan liar yang terlibat. Ujian forensik ini akan dijalankan di Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan milik Perhilitan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas mengenai tangkapan di Taman Negara Terengganu pada 29 Mei lalu, Xavier berkata, tiga individu warga Kemboja telah ditahan dan beberapa bahagian hidupan liar serta hasil hutan disita.

Antara yang disita termasuklah 105 unit sisik tenggiling, sembilan bungkus daging yang disyaki hidupan liar, sepasang rahang hidupan liar, tiga unit taring hidupan liar, empat unit duri landak, selain pelbagai peralatan untuk memburu.

Sementara itu, Xavier berkata, kementeriannya memandang serius dalam usaha memastikan hidupan liar terutamanya Harimau Malaya terpelihara dan tidak mengalami kepupusan.

Menurutnya, pada masa ini hanya terdapat kurang daripada 200 ekor Harimau Malaya di hutan-hutan seluruh Semenanjung Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Tindakan penceroboh dan penjenayah hidupan liar merupakan tindakan tidak berperikemanusiaan ... kementerian amat serius berkaitan perkara ini dan akan mempertingkatkan operasi memburu serta menangkap penceroboh dan penjenayah hidupan liar.

Kementerian juga memberikan amaran keras kepada semua pihak agar mematuhi undang-undang,” katanya. - Bernama