49 kematian, 70,948 saman dikeluarkan dalam Op Selamat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah 49 kematian akibat kemalangan jalan raya direkod dalam tempoh tiga hari Op Selamat 15 sempena Hari Raya Aidilfitri ini, kata Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Asmawati Ahmad.

Beliau berkata, sejak dilancar Rabu lepas, sebanyak 5,310 kemalangan membabitkan 7,574 kenderaan dilapor di seluruh negara.

"Selangor merekodkan jumlah kemalangan paling tinggi dengan 1,643 kes diikuti Johor dengan 810 kes dan Kuala Lumpur 784 kes," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 928 operasi dilaksanakan di seluruh negara dengan 70,948 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

"Bagi kes pecah rumah dan premis pula, 114 kes direkod dalam tempoh tiga hari Op Selamat di seluruh negara," katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, polis memberi tumpuan kepada enam kesalahan utama dalam Op Selamat 15/2019 bermula Rabu lepas sehingga 12 Jun.

Enam kesalahan itu ialah memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit, memotong barisan, memandu laju dan tidak mematuhi lampu isyarat. - Bernama

Artikel Berkaitan: