Jangan jadikan Gua Musang penamat perjalanan pulang beraya

Trafik menuju ke Pantai Timur dari ibu kota menuju Karak mula bergerak perlahan pada jam 8 malam tadi selepas orang ramai mula pulang ke kampung sempena cuti sambutan Hari Raya Aidilfitri. - FOTO ZAHID IZANI
Trafik menuju ke Pantai Timur dari ibu kota menuju Karak mula bergerak perlahan pada jam 8 malam tadi selepas orang ramai mula pulang ke kampung sempena cuti sambutan Hari Raya Aidilfitri. - FOTO ZAHID IZANI
A
A
A

GUA MUSANG - Pengguna jalan raya dinasihati supaya berhati-hati di sepanjang laluan Gua Musang terutamanya di 10 lokasi panas nahas kemalangan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, memandangkan jumlah kenderaan semakin bertambah, kesabaran perlu diutamakan.

Katanya, pemanduan berhemah amat diharapkan kepada semua pengguna jalan raya agar daerah ini tidak menjadi lokasi penamat perjalanan pulang untuk beraya bersama keluarga.

"Dalam keghairahan untuk pulang ke kampung halaman, keselamatan ahli keluarga yang berada di dalam kenderaan haruslah diutamakan.

"Hasil siasatan kes kemalangan, majoriti daripadanya berpunca daripada kecuaian pemandu termasuk kesalahan memotong di garisan berkembar, memotong secara melulu dan melebihi kelajuan yang ditetapkan," katanya

Beliau berkata demikian selepas pelancaran, Op Selamat peringkat daerah di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Rantau Manis di sini semalam.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Hospital Gua Musang (HGM).

Sempena pelancaran berkenaan, sebanyak 200 pek juadah berbuka turut diagihkan kepada pengguna laluan yang terdiri daripada golongan perantau yang mula pulang untuk beraya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Taufik berkata, pihaknya dan JPJ turut meningkatkan kekerapan rondaan di laluan utama Gua Musang - Kuala Krai dan Gua Musang - Kuala Lipis, sempena Op Selamat, bagi memantau dan memastikan pengguna mematuhi undang-undang dan mengelakkan kesesakan.

"Kepulangan perantau seharusnya dirai, bukan ditangisi. Jika mengantuk, berhenti rehat seketika dan mulakan pemanduan dengan berhemah," katanya lagi.

Berikut 10 lokasi panas kemalangan maut di Jalan Gua Musang:-

Gua Sejuk

Chiku 3

Sungai Bayu

Paloh

Kampung Sungai Lakit

Bukit Lanjut

Taman Rusa

Kampung Lepan Jaya

Pos HendropKampung Jedip

Pos Brooke