Kehilangan Zahiruddin: Suspek peras ugut bapa mangsa ditahan

Polis memberkas seorang lelaki yang cuba memeras ugut bapa kepada Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi,8, kanak-kanak yang dilaporkan hilang sejak 15 April lalu. Gambar kecill: Ahmad Dzaffir
Polis memberkas seorang lelaki yang cuba memeras ugut bapa kepada Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi,8, kanak-kanak yang dilaporkan hilang sejak 15 April lalu. Gambar kecill: Ahmad Dzaffir
A
A
A

KAJANG - Polis memberkas seorang lelaki yang cuba melakukan pemerasan terhadap bapa kepada Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi,8, kanak-kanak yang dilaporkan hilang sejak 15 April lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata suspek mengirim satu pesanan menerusi aplikasi WhatsApp kepada bapa mangsa, Mohd Fauzi Abdul Ghaffar 13 Mei lalu.

Katanya, suspek meminta sejumlah wang kepada Mohd Fauzi dan memberitahu Muhammad Zahiruddin yang dipanggil Zahir itu ada bersamanya.

“Hasil maklumat Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang bersama Bahagian Operasi Khas (D8) Kontinjen Selangor berjaya mengesan dan menahan suspek di Permas Jaya Johor Bharu.

“Hasil soal siasat suspek mengaku kanak-kanak itu tidak ada bersamanya dan tindakan (pemerasan) dilakukan untuk cuba mengambil kesempatan daripada kejadian tersebut.

“Suspek juga mengaku melakukan perbuatan itu kerana terdesak tidak mempunyai duit. Suspek diikat dengan bon mahkamah sehingga siasatan selesai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Muhammad Zahiruddin dipercayai hilang selepas keluar dari rumahnya di Pangsapuri Seri Dahlia, Bandar Seri Putra di sini kira-kira jam 8 pagi, 15 April lalu.

Kehilangannya yang disedari ibunya pada jam 7.30 malam hari sama kemudian dilaporkan di Balai Polis Bangi awal pagi 16 April lalu sebelum turut disebarkan menerusi Nur Alert.

Artikel Berkaitan:

Polis masih mengklasifikasikan kes tersebut sebagai siasatan orang hilang (OH) dan setakat ini dan tiada sebarang unsur jenayah dikaitkan dengan kejadian.

ARTIKEL BERKAITAN Unit K9 digunakan kesan Muhammad Zahiruddin