RM380,000 selenggara jalan dari RTC Gopeng ke Kampar

Boon Chye (kanan) bersama Thomas Su dan Sandrea Ng menunjukkan jalan yang akan diselenggara ketika melawat kawasan berhampiran persimpangan tol Gopeng, di sini hari ini.
Boon Chye (kanan) bersama Thomas Su dan Sandrea Ng menunjukkan jalan yang akan diselenggara ketika melawat kawasan berhampiran persimpangan tol Gopeng, di sini hari ini.
A
A
A

GOPENG - Sejumlah RM380,000 diperuntukkan bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan dan lampu sepanjang laluan bermula dari Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng hingga ke Kampar.

Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye berkata, laluan tersebut merupakan Jalan Persekutuan sepanjang 22 kilometer yang membabitkan peruntukan dua kawasan Parlimen iaitu Gopeng dan Kampar.

Katanya, kerja penyelenggaraan itu membabitkan dua kawasan iaitu dari RTC Gopeng ke persimpangan tol Gopeng melibatkan peruntukan RM180,000 manakala baki RM200,000 bagi projek penyelenggaraan dari persimpangan tol Gopeng sehingga Kampar.

"Peruntukan ini melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan lampu jalan, mengecat garisan jalan dan penggantian papan tanda yang rosak di sepanjang jalan tersebut.

"Masalah yang dihadapi pengguna di jalan tersebut telah melebihi 10 tahun. Ada beberapa tempat yang gelap dan garisan jalan tak jelas dan ini boleh memberikan risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya di situ," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Pejabat Ahli Parlimen Gopeng, di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu, Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su dan ADUN Teja, Sandrea Ng.

Boon Chye berkata, projek tersebut dijangka akan dimulakan tidak lama lagi dan siap sebelum penghujung tahun nanti.

Sementara itu, Thomas Su berkata, bagi kawasan Parlimen Kampar, dua projek akan dijalankan iaitu penyelenggaraan papan tanda jalan yang rosak dan garisan jalan melibatkan peruntukan RM150,000.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sejumlah RM50,000 lagi diperuntukkan pula bagi kerja-kerja penyelenggaraan lampu jalan yang rosak melibatkan penggantian dan pembaikan.

"Dengan projek ini, laluan utama akan lebih selamat dan selesa digunakan oleh pengguna jalan raya terutama pada waktu malam serta pada waktu hujan.

"Kerja-kerja penyelenggaraan di Kampar dijangka akan bermula pada Julai nanti memandangkan proses akhir melantik kontraktor akan dilaksana dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata, laluan tersebut merupakan jalan utama pengguna daripada Ipoh ke Tapah dan Teluk Intan.