Perpaduan ummah Pas-UMNO tak jelas

Usahawan Mood Republik Kedah Raya mengambil peluang merakamkan kenangan bersama Mukhriz (tiga dari kanan) ketika beliau meninjau gerai jualan dan pameran di sini hari ini.
Usahawan Mood Republik Kedah Raya mengambil peluang merakamkan kenangan bersama Mukhriz (tiga dari kanan) ketika beliau meninjau gerai jualan dan pameran di sini hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Perpaduan ummah yang dibentuk bersama Pas-UMNO didakwa masih tidak jelas matlamatnya dan sudah tentu mempunyai agenda tertentu.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, sekiranya dua parti itu yang juga musuh tradisi sejak dahulu mahu mewujudkan perpaduan bersama, pasti masing-masing mempunyai matlamat tersendiri.

Menurutnya, namun sehingga kini, agenda ke arah perpaduan ummah yang diuar-uarkan pemimpin kedua-dua parti masih tidak jelas.

“Apabila Pas-UMNO mahu bersatu, seolah ada agenda tertentu yang tak tepati citarasa, menyebabkan kita tidak bersekali dengan gagasan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Selangor dukacita perpecahan orang Melayu amat merisaukan

"Bila sebut tentang perpaduan, mesti ada matlamat, tak boleh saja-saja mahu wujudkan perpaduan, tentu ada agenda,” katanya, selepas perasmian penutup Festival Mood Republik Kedah Raya, di sini, hari ini.

Mukhriz berkata, pihaknya masih tertanya-tanya apa matlamat sebenar perpaduan ummah dipelopori Pas dan UMNO kerana sehingga kini belum jelas apa sebabnya mereka bersatu.

“Perpaduan itu mesti ada sebab, contohnya mahu angkat nilai murni dalam masyarakat. Jika satu pihak tercemar dengan masalah kleptokrasi, satu pihak lagi dengan masalah tersendiri, apa motif sebenarnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas kenyataan Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid yang mendakwa perpecahan Melayu terutama perpecahan politik makin serius, dan ia bermula dari peringkat pemimpin namun semakin parah apabila mengikut kelompok kepartian politik masing-masing, Mukhriz mengakui ada ketikanya tindakan pemimpin politik menjadi punca kepada perpecahan orang Melayu.

“Ini juga antara penyebab Pas dan UMNO berpecah sehingga wujudnya Amanah dan Bersatu kerana masing-masing sudah tiada persefahaman,” katanya.

Menurutnya, untuk mengelak perpecahan itu bertambah parah, semua pihak hendaklah tidak terlalu taksub kepada mana-mana pemimpin politik mereka.

“Saya akui kadang orang politik punca masalah dan menyebabkan perpecahan, Pas dan UMNO berpecah adalah disebabkan akibat daripada tindakan kepimpinan politiknya. Contohnya, UMNO dulu taksub dengan pemimpin dan tak boleh ditegur, jika bersuara akan dipecat, inilah puncanya berlaku perpecahan dalaman,” katanya.

Menteri Besar Kedah itu berkata, seeloknya usah terlalu fanatik atau taksub terhadap mana-mana pemimpin.

“Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali pun selalu ingatkan, jangan taksub pada dia, sebaliknya ikhlas pada perjuangan yang dibawa. Jika kita bersikap lebih terbuka pada teguran membina, saya yakin perpecahan tidak berlaku,” katanya.

Menurutnya, perpecahan juga berlaku apabila terdapat sesuatu dilakukan pihak lain mungkin bertentangan dengan daya penarik kepada perpaduan masyarakat.

Sebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa dukacita atas perpecahan orang Melayu yang dilihat berada pada tahap merisaukan.