Ingat masa sihat sebelum sakit

A
A
A

DARIPADA Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara.

* Masa sihat sebelum sakit.

* Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin).

* Masa lapang sebelum tiba masa sibuk.

* Masa mudamu sebelum datang masa tua dan

* Masa hidup sebelum tiba masa mati.

Dalam keadaan saya yang kurang sihat sekarang ini, terasa ketara sekali tentang kebenaran pesanan tersebut khususnya tentang ingat masa sihat sebelum sakit.

Dalam keadaan yang uzur sehingga terpaksa banyak tersandar di atas katil untuk berehat, maka dunia saya sekali gus terasa menjadi sempit sekali.

Artikel Berkaitan:

Sempit kerana kekuatan dan keupayaan diri untuk bergerak ke sana sini sudah menjadi terhad dan terhalang. Malah untuk bergerak cergas dalam rumah juga terasa terhad dan terbatas. Untuk mandi, ke tandas dan solat juga terasa begitu mencabar dan memerlukan istiqamah dan iltizam yang tinggi untuk melaluinya.

Selera untuk makan minum juga ikut terganggu. Maka mulai hilanglah stamina dan kekuatan diri sekali gus membuat berat badan menjadi susut. Jika tidak dikawal istiqamah dan iltizam, saya pastinya kehilangan semangat juang dan keupayaan terus hidup.

Dalam keadaan yang lemah dan sempit, saya teringat semasa segar-bugar dahulu dan bagaimana saya menggunakan kekuatan dan kemampuan diri. Saya tertanya-tanya dalam konteks pesanan dan nasihat Rasulullah sama ada saya menggunakan waktu sihat sebaik mungkin dengan mengerjakan amal ibadah dan amal jariah di landasan-Nya. Saya terpaksa akui dengan jujur dan ikhlasnya bahawa saya tidak selalunya berjaya menunaikan tanggungjawab tersebut. Malah banyak ketika dan waktu yang saya lalai dan alpa untuk memantapkan waktu, peluang dan ruang untuk-Nya dan kerana-Nya.

Malah saya sering hanyut dalam mengejar dunia dan gemerlapan hidup di kota raya yang dipenuhi banyak godaan dan kepalsuan. Saya seperti ramai insan-insan lain yang lemah, kadang-kadang terpedaya dengan nafsu dan patah dengan bisikan syaitan untuk memilih jalan yang kabur.

Sisa hidup

Itu semua berlaku kerana iman yang lemah dan kurang kental dalam menghadapi cabaran kehidupan yang membuat saya gagal membuat pilihan yang betul mengikut hukum agama. Bukan kerana jalan ALLAH itu sempit atau terhad kerana sesungguhnya DIA tidak sekali-kali menafikan hak dan bahagian kita di dunia.

“Carilah pada apa yang telah dianugerahkan ALLAH kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi.” (Al-Qashsah 28:77) Masalahnya kadang-kadang saya memilih jalan pintas untuk memenuhi nafsu dan godaan iblis syaitan. Bila dalam keadaan sakit sekarang, saya benar-benar dambakan rasa sihat dan segar untuk menebus kembali segala keterlanjuran dan kesilapan yang silam.

Saya mahu sihat kembali untuk melakukan yang terbaik di penghujung kehidupan. Sisa-sisa hidup mahu saya isikan dengan sebanyak amal ibadah dan jariah yang termampu. Saya sering membaca kalimah suci ALLAH sepertimana diajarkan kepada saya semasa sihat dan ketika sakit. Antara yang saya sebut ialah kalimah berikut:

"Dan apabila aku sakit, maka DIA lah yang menyembuhkan penyakitku." (As-Syu'ara 42:80)

"ALLAH tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan diusahakannya.

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Maafkanlah kesalahan kami serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami." (Al-Baqarah 2:286)

Ya ALLAH Ya Tuhanku, aku berdoa kepada-Mu dengan penuh rendah diri dan keinsafan agar Engkau pulihlah kembali kesihatan diriku untuk membolehkan aku berbakti kepada Engkau Yang Satu. Semoga nukilan ini mampu membawa sedikit sebanyak munafaat dan kebaikan kepada pembaca sekelian. Amin ya raballal alamin.

*Wan Haron Wan Hassan ialah seorang peguam