Ibu Adib mahu keadilan

Asma tidak dapat menahan kesedihan.
Asma tidak dapat menahan kesedihan.
A
A
A
KUALA KEDAH - Keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim mahu penjenayah terbabit dibawa ke muka pengadilan dengan segera.

Ibu Allahyarham, Asma Aziz,51, berkata, dia mahu melihat sendiri wajah penjenayah kejam yang sanggup membelasah anaknya sehingga membawa kematiannya.

"Perbuatan kumpulan perusuh membelasah anak makcik dengan kejam sememangnya tidak dapat dimaafkan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tebengau Tepi Laut, di sini, hari ini.

Asma amat berharap supaya mana-mana yang terlibat dalam rusuhan itu dikenakan hukuman setimpal dengan apa yang mereka telah lakukan terhadap Allahyarham Muhammad Adib.

Asma yang masih trauma dan tidak mampu menerima kejadian rusuhan berlaku hingga menyebabkan anak lelakinya meninggal dunia hingga tidak dapat melelapkan mata.

“Sehingga saat ini, makcik tidak berdaya untuk menziarahi kuburnya dan tak boleh tidur lena sebab rindu dan teringatkan Adib.

"Makcik memang rapat sangat dengan dia, kalau ada cuti memang dia akan balik kampung bantu ayahnya di sawah," ceritanya.

Sepanjang perbualan bersama Asma, air matanya tidak henti-henti mengalir saat bercerita mengenai anak keduanya itu.

Umum mengetahui mengenai 23 Disember ini merupakan tarikh perkahwinan Allahyarham, namun masih belum membuat keputusan sama ada majlis tahlil akan diadakan menggantikan majlis perkahwinan itu memandangkan undangan sudah dibuat sebelum kejadian berlaku.
Artikel Berkaitan:


Terdahulu, bapa Allahyarham, Mohd Kassim Abdul Hamid, 63, memohon supaya keluarga mereka tidak diganggu buat sementara waktu.

Semalam, suasana sedih dan pilu menyelubungi pengebumian Allahyarham Muhammad Adib di tanah perkuburan Masjid Saadah, Kampung Tebengau, Kuala Kedah.

Turut menangisi adalah tunang Allahyarham, Nurul Najihah Mohd Radzi, 25, yang sepatutnya diijab kabul Sabtu ini ketika menyiram pusara tunangnya.

Muhammad Adib yang parah setelah dipukul sekumpulan perusuh dalam kejadian di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, USJ 25, Subang Jaya, Selangor pada 27 November lalu meninggal dunia di Institut Jantung Negara kira-kira jam 9.41 malam, Isnin.