Persiapan raya saat akhir lebih jimat

Bazar raya Pekan Batu Enam menawarkan pelbagai pilihan barangan yang diperlukan.
Bazar raya Pekan Batu Enam menawarkan pelbagai pilihan barangan yang diperlukan.
A
A
A

KUALA NERUS - Suasana bazar raya Pekan Batu Enam meriah dengan kehadiran orang ramai membeli-belah untuk membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri pada saat saat akhir, malam tadi.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi tumpuan ramai itu mendapati masyarakat Islam pelbagai usia sibuk membeli barang barang keperluan raya untuk diri dan keluarga masing-masing.

Malah, jumlah kenderaan menuju ke pekan berkenaan meningkat tanpa mengira masa yang boleh dibuktikan dengan kesesakan jalan raya berlaku di sekitar kawasan tersebut.

Menurut Mohd Ali Aziz, 46, dia sememangnya memilih untuk membeli-belah di situ kerana bazar raya berkenaan menawarkan pelbagai pilihan barangan yang diperlukan.

Dia ditemani isterinya, Norhasmida Adnan, 36, berkata, ini juga memudahkan beliau memilih barang diperlukan seperti baju Melayu, songkok, kuih-muih, biskut dan sebagainya.

Meskipun rambang mata melihat barang-barang raya yang cantik, namun dia dan isteri tetap memilih untuk bersederhana dalam meraikan Syawal kelak kerana tidak mahu membazir.

Pengunjung memenuhi gerai emas sadur Korea di bazar raya Pekan Batu Enam.
Pengunjung memenuhi gerai emas sadur Korea di bazar raya Pekan Batu Enam.

"Kami juga memilih untuk membeli-belah pada minggu terakhir Ramadan kerana lebih banyak tawaran dan diskaun. Secara tidak langsung dapatlah berjimat cermat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Osman Awang, 63, dari Kampung Padang Nenas di sini berkata, dia juga lebih gemar membuat persiapan di saat saat akhir kerana harga barang ditawarkan lebih rendah.

“Namun, saya beli apa yang perlu sahaja dan apa yang penting adalah semua ahli keluarga terutamanya anak-anak dapat dua pasang baju baharu seorang,” kata bapa tiga anak itu.

Sementara itu, seorang peniaga perhiasan diri dan pelbagai jenis biskut, Suriati Abdul Rahman, 28, tahun ini, pengunjung yang datang ke situ meningkat berbanding tahun lalu.

“Sudah tiga tahun berniaga di sini dan tahun ini paling meriah kerana pelbagai lapisan masyarakat datang untuk mendapatkan barangan keperluan masing-masing di sini,” katanya.