RM5 juta tingkat infrastruktur di Labis

Shahril Nizam (kiri) ketika mengiringi Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal (tengah) meninjau Dataran Labis baru-baru ini.
Shahril Nizam (kiri) ketika mengiringi Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal (tengah) meninjau Dataran Labis baru-baru ini.
A
A
A

LABIS - Pelbagai infrastruktur dan kemudahan di daerah kecil ini akan dipertingkatkan bagi memberikan kesejahteraan kepada pembayar cukai.

Yang Dipertua Majlis Daerah Labis (MDL), Shahril Nizam Abdul Rahim berkata, pelbagai projek telah dirancang melalui peruntukan berjumlah RM5 juta daripada beberapa kementerian dan pihak berkaitan.

“Peruntukan bernilai RM3.154 juta diperoleh daripada Kementerian Kewangan melalui Perbendaharaan Negeri Johor. Selebihnya dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berjumlah RM1.243 juta.

“Manakala baki RM124,000 daripada Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Johor dan RM485,000 lagi adalah di bawah projek pembangunan MDL,” katanya kepada pemberita.

Menurutnya, sebanyak 30 projek telah dikenalpasti.

“Daripada 30 jumlah projek ini, 21 projek kini di peringkat pembinaan sementara sembilan lagi masih dalam peringkat tender atau undian.

“Projek yang membabitkan peruntukan besar adalah pelaksanaan kerja-kerja menurap permukaan serta menaik taraf jalan.

“Selain itu, sistem perparitan melibatkan 20 projek keseluruhan juga menelan belanja berjumlah lebih RM3.5 juta,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Shahril Nizam berkata, projek lain yang turut diberi perhatian adalah pemasangan lampu jalan di tiga lokasi yang dikenal pasti melibatkan peruntukan hampir RM380,000.

Tambahnya, projek pembangunan lain yang turut dilaksanakan ialah membina tembok penahan konkrit, membina tempat meletak kenderaan dan membina taman rekreasi.

"Selain itu, MDL turut melaksanakan kerja-kerja menaik taraf dewan serbaguna, gerai di bawah pentadbiran kami serta kuarters kerajaan kepada gimnasium bagi kesejahteraan penduduk setempat.

"Pada masa akan datang, kami kini dalam perancangan untuk menjalin kerjasama dengan sebuah universiti awam bagi melakukan kajian terhadap air di Pusat Rekreasi Kolam Air Panas," katanya