Rakyat Malaysia disaran kuasai lebih dari 1 bahasa

Dr Maszlee Malik - Foto Bernama
Dr Maszlee Malik - Foto Bernama
A
A
A

BANGI - Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata kementeriannya komited untuk menjadikan rakyat Malaysia yang mampu menguasai bahasa ketiga atau keempat termasuk Bahasa Arab.

Beliau berkata pihaknya mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak sama ada di peringkat tempatan atau antarabangsa bagi memperkasakan usaha penguasaan bahasa asing di kalangan pelajar.

“Pada 2011, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melancarkan kajian semula sistem pendidikan negara secara menyeluruh dalam usaha membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang baharu.

“KPM telah menggariskan 11 anjakan utama untuk mentransformasikan sistem pendidikan negara, satu daripadanya ialah memperkasakan penguasaan pelbagai bahasa dalam kalangan pelajar termasuk Melayu, Inggeris dan Arab serta menggalakan mereka mempelajari bahasa asing lain,”katanya kepada Bernama selepas menyampaikan ucapan perasmian sempena sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia (WALD 2018) di sini, semalam.

Hari Bahasa Arab Sedunia disambut pada setiap 18 Disember bersempena dengan pemilihan bahasa itu oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sebagai satu daripada bahasa rasmi pertubuhan dunia itu.

Program WALD 2018 bermula 16 hingga 21 Disember, dianjurkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam (ISESCO) dengan kerjasama World Organisation for Reinassance (WORAL), Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Maszlee turut berterima kasih kepada ISESCO atas usaha berterusan dalam memartabatkan dan memperkasakan tahap Bahasa Arab dalam kalangan pelajar di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Sementara itu, Pengarah ISESCO cawangan Malaysia Dr Abdul Razif Zaini berkata WALD 2018 yang masuk tahun ketiga penganjurannya, kali ini mendapat sambutan menggalakkan dengan pelbagai aktiviti seperti video pendek, pertandingan khat Arab, penulisan esai, malam kebudayaan, lukisan grafiti dan mural.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata program tahunan bertemakan “Bahasa Arab Menghimpunkan Kami” menyaksikan peningkatan penguasaan Bahasa Arab di kalangan pelajar dan orang awam dengan persembahan menarik daripada peserta WALD 2018.

“Antara pertandingan yang mendapat sambutan paling tinggi ialah video pendek dengan penyertaan lebih 60 buah sekolah rendah, menengah dan universiti tempatan dari seluruh negeri.

“Pertandingan ini turut mendapat penyertaan daripada pelajar yang bukan beragama Islam...ini kerana kecanggihan teknologi masa kini menarik minat para pelajar untuk berkarya dan terus memacu penggunaan Bahasa Arab,” katanya.

Mengulas lanjut, Razif berkata ISESCO turut menganjurkan Seminar Pemerkasaan Pengajaran & Pembelajaran Bahasa Arab bersempena sambutan itu, bertujuan memberi tumpuan dan membincangkan pemerkasaan kemahiran bertutur dalam kalangan pelajar di Malaysia dan Asia Tenggara.

Seminar itu ihadiri pakar Bahasa Arab dari pelbagai negara termasuk Indonesia, Brunei, Kemboja, Vietnam dan China.

Pertubuhan ISESCO Malaysia juga telah menganjurkan banyak program dan aktiviti tahunan antaranya seminar dan bengkel, penganjuran siri wacana akademik, penyelidikan dalam bidang bahasa Arab dan pendidikan Islam.

Selain itu, pertubuhan itu turut mengadakan ekspo dan pertandingan bahasa Arab di peringkat sekolah serta institusi pengajian tinggi, sambutan hari bahasa Arab sedunia, kelas intensif bahasa Arab dan penubuhan perpustakaan khas ISESCO di Malaysia. - Bernama