Rindu yang tiada noktah

Qistina menunjukkan gambar arwah ayahnya yang disimpan kemas di dalam dompetnya.
Qistina menunjukkan gambar arwah ayahnya yang disimpan kemas di dalam dompetnya.
A
A
A

YAN - "Perasaan rindu saya pada arwah ibu tak pernah padam, setiap hari saya doakan ibu dan jika tak dapat menahan perasaan itu saya akan pandang cermin kerana wajah ibu mirip saya."

Demikian luahan penghuni Pusat Jagaan Badan Usaha Didikan Anak-Anak Yatim (Budi), Mohd Adam Haikal Mohd Zainol, 11, ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Menurut Mohd Adam, dia yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik tinggal bersama kakaknya Siti Zubaidah, 15, di rumah jagaan berkenaan.

Katanya, dia mula tinggal di pusat jagaan itu sejak empat tahun lalu setelah ibunya meninggal dunia.

"Kakak sulung kami hantar ke sini selepas kematian ibu sebab kakak tidak mampu untuk uruskan perbelanjaan kami.

Pusat Jagaan Budi mempunyai 52 penghuni.
Pusat Jagaan Budi mempunyai 52 penghuni.

"Ibu meninggal dunia masa saya darjah satu dan ayah pula meninggal masa saya berumur tiga tahun. Saya tak sangka raya puasa empat tahun lalu adalah yang terakhir untuk saya bersama ibu," katanya.

Mohd Adam berkata, dia sentiasa membawa gambar arwah ibunya bersama di dalam dompet bagi mengubat kerinduan.

Artikel Berkaitan:

"Tapi kini gambar ibu tiada lagi sebab tahun lalu dompet saya hilang," katanya.

Tambahnya, sambutan hari raya tanpa arwah ibu sangat menyedihkan namun dia masih bersyukur kerana mempunyai dua kakak yang menyayanginya.

Mohd Adam tidak pernah melepaskan peluang balik beraya untuk menjenguk pusara ibunya yang meninggal dunia disebabkan kanser payu dara.

Mohd Adam (kiri) sedang mengulangkaji pelajaran bersama rakannya di Pusat Jagaan Budi.
Mohd Adam (kiri) sedang mengulangkaji pelajaran bersama rakannya di Pusat Jagaan Budi.

"Walaupun ibu dah t-ada saya sentiasa ingat pesan ibu untuk menjaga diri dan mendoakan ibu bahagia di sana," katanya.

Sementara itu, Qistina Batrisya Zahari, 16, berkata, setiap kali menjelang Aidilfitri perasaan rindu pada arwah ayahnya sangat menebal.

"Sebelum meninggal ayah pernah sakit dan terlantar di hospital hampir setahun. Saya pernah menyambut hari raya bersama ayah di hospital.

"Walaupun saya baru berusia 10 tahun pada ketika itu saya berpeluang menjaga ayah hingga akhir hayat," katanya.

Menurutnya, dia tinggal di pusat jagaan itu bersama adiknya kerana ibunya tidak berkemampuan.

"Kalau boleh saya nak membesar dengan cepat, nak kerja dan ubah kehidupan serta satukan kembali keluarga saya.

"Saya rindu arwah ayah..adik..ibu..tapi kami tak ada rezeki untuk tinggal bersama," katanya sambil menahan sebak.

Sementara itu, Pengerusi Rumah Budi, Datuk Abd Razak Hashim berkata, pusat jagaan yang ditubuhkan pada tahun 1981 itu mempunyai 52 penghuni.

Menurut Abd Razak, penghuni pusat jagaan itu terdiri dari kalangan mereka yang berusia sembilan hingga 17 tahun.

"Kesemua penghuni akan dibenarkan pulang ke rumah waris masing-masing menjelang Aidilfitri nanti," katanya.