MPKK perlu bijak sampaikan dasar kerajaan

Rina (empat dari kiri) bergambar bersama anak yatim dan kepimpinan PH di Dewan Kesedar Wilayah Kuala Krai hari ini.
Rina (empat dari kiri) bergambar bersama anak yatim dan kepimpinan PH di Dewan Kesedar Wilayah Kuala Krai hari ini.
A
A
A

KUALA KRAI - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mahu Ahli Jawatakuasa (AJK) Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bijak menyampaikan dasar kerajaan kepada masyarakat.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kebijaksanaan ahli dilantik membolehkan mereka menjadi mata dan telinga kerajaan.

Menurut beliau, pihaknya mahu mereka yang dilantik menyemak dan menimbang sebarang keputusan ketika menyampaikan sesuatu maklumat kepada masyarakat.

"Kita mahu MPKK menjadi perantara yang dapat mewujudkan suasana yang harmoni dan bersatu padu dalam masyarakat," katanya pada sidang media selepas Majlis Berbuka Puasa dan penyerahan Watikah AJK MPKK Kelantan di Pejabat Kesedar Wilayah Kuala Krai sebentar tadi.

Turut hadir, Pengerusi Kada, Datuk Husam Musa yang juga Pengerusi PH Kelantan, Pengerusi Kesedar, Datuk Sazmi Miah dan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Rina berkata lagi, ahli MPKK yang dilantik diharapkan dapat mengetepikan fahaman politik dalam usaha menyampaikan dasar kerajaan kepada masyarakat akar umbi.

"Pelantikan ini juga diharapkan dapat mengeratkan kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan dengan memberikan khidmat terbaik kepada komuniti dalam aspek pembangunan luar," katanya.

Beliau berkata, KPLB juga dalam proses mewujudkan Majlis Pemerkasaan Dasar di peringkat Parlimen.

Artikel Berkaitan:

"Kemungkinan ia ditubuhkan selepas Aidilfitri berikutan dalam proses akhir penubuhan," katanya.

Pada majlis ini, seramai 2,931 orang AJK MPKK dari 636 kampung menerima watikah pelantikan.

Pada majlis sama Rina turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada asnaf dan anak yatim.

Terdahulu beliau meninjau Jambatan Setelu, Gua Musang yang telah siap 98 peratus dan telah dibuka laluan kepada orang ramai sejak Isnin lalu.

Rina berkata, dijangka 100,000 pengguna boleh melalui laluan tersebut pada musim perayaan ini.