Projek pusingan U di bulatan Segambut jimatkan masa

Hannah Yeoh bersama wakil DBKL dan penduduk ketika turun padang hari ini.
Hannah Yeoh bersama wakil DBKL dan penduduk ketika turun padang hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembinaan laluan pusingan U di Bulatan Segambut di sini mampu menjimatkan masa pengguna khususnya penduduk di Bukit Tunku dan sekitarnya.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, perlaksanaan laluan berkenaan dibuat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atas permohonan yang buat pihaknya pada Januari lalu.

Menurutnya, kesesakan yang berlaku di bulatan Segambut pada waktu puncak menyebabkan aliran kenderaan dari arah Publika terjejas.

“Kira-kira 1,000 penduduk yang tinggal di kawasan Bukit Tunku dan sekitarnya perlu mengambil masa sehingga setengah jam untuk membuat pusingan di Bulatan Segambut.

“Jadi dengan adanya laluan pusingan U ini masa dapat dijimatkan dan mengurangkan kesesakan,” katanya ketika turun ke lokasi laluan berkenaan hari ini.

Hannah berkata, kerja-kerja pembinaan laluan pusingan U itu turut melibatkan penambahan satu laluan dengan kos sebanyak RM100,000.

“Ia telah dibuka kepada umum sejak 3 Mei lalu,” katanya.

Dalam pada itu, Hannah berkata, pihaknya juga mengambil perhatian berhubung isu kesesakan di Jalan Segambut dan kini dalam proses perbincangan bersama DBKL.

Artikel Berkaitan:

“Kita komited untuk menambah baik isu-isu berbangkit demi kehidupan masyarakat yang lebih baik,” katanya.