Tiada barangan melepasi harga siling: Saifuddin Nasution

Saifuddin menyampaikan sumbangan kepada penerima dalam majlis hari ini.
Saifuddin menyampaikan sumbangan kepada penerima dalam majlis hari ini.
A
A
A

KULIM - Sebanyak 27 item barangan kawalan yang dipantau melalui Skim Kawalan Harga Maksimum (SKHM) sempena Aidilfitri ini tidak mengalami kenaikan melepasi harga siling.

Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya telah melakukan tinjauan di 18,000 buah premis dan mendapati barangan kawalan dijual mematuhi syarat ditetapkan.

"Setakat ini daripada 18,000 premis perniagaan yang dilawati penguatkuasa setakat ini, tiada aduan harga melepasi siling.

"Yang ada hanya aduan tentang harga tidak meletak tanda harga berwarna merah jambu. Tetapi itupun jumlahnya sangat kecil iaitu 52 daripada 18,000 premis," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sumbangan Amal Pasar Raya Tesco -KPDNHEP di Tesco Kulim, hari ini.

Saifuddin berkata, beliau juga telah mengunjungi lima pasar raya termasuk Tesco Kulim dan dapati harga barang kawalan dijual lebih murah berbanding harga siling.

"Misalnya bawang besar dijual, setakat ini yang harga paling rendah saya tengok ialah di sini (Tesco Kulim) kerana ia menjual pada harga pada harga 99 sen (sekilogram), sedangkan harga siling berharga RM3 (sekilogram).

"Kualitinya juga sangat baik, ada pasar raya jual pada harga RM2 dan RM1.99 (kuantiti sama)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kubis bulat dan kacang tanah antara item dijual di bawah paras harga siling di pasaraya terbabit.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, stok bekalan ikan kembung yang dimasukkan dalam harga kawalan setakat ini mencukupi dan dijual bawah paras harga siling.

"Saya harap tiada masalah gangguan bekalan sebelum, pada dan selepas hari perayaan kerana tempoh SKHM ini selama sebulan.

"Saya suka mengajak pembeli, pengguna, dan rakyat untuk ambil peluang ini dengan berbelanja secara berhemah, bijak dalam membuat keputusan pembelian, pilih barangan yang betul-betul diperlukan serta pilih barangan dijual pada harga rendah,"katanya.

Terdahulu, 100 penerima menerima sumbangan berupa kelengkapan hari raya daripada Tesco Kulim dan KPDNHEP.

Mereka terdiri daripada kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah dari Parlimen Kulim-Bandar Baharu.