Pengorbanan demi Umno

Mohd Sharkar (dua, kiri) ketika majlis perasmian retreat Umno Bahagian Temerloh bersama Mohamad (tiga, kanan) di Bukit Fraser, Sabtu lalu.
A
A

TEMERLOH - Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin menyifatkan tindakan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah satu pengorbanan demi perjuangan parti tersebut.

Ini berikutan pengumuman Ahmad Zahid malam tadi untuk menyerahkan tugas tersebut kepada Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Menurut Mohd Sharkar, tindakan tersebut diambil selepas Ahmad Zahid menerima desakan akar umbi parti berkenaan.

"Apa-apa pun, kita ucapkan terima kasih kepada beliau atas apa yang telah dilakukan selama ini.

"Beliau mengambil tindakan drastik untuk berehat dan memberikan peluang kepada Timbalan Presiden (Tok Mat) untuk memangku tugas ini," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Temerloh menghormati keputusan itu demi keharmonian parti.

"Sebelum ini, Umno Temerloh ambil ketetapan, kita sentiasa menyokong visi Ahmad Zahid... tapi apa juga keputusan yang kita hormati.

"Kita tahu beliau dibebani pelbagai isu dan tuduhan," katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohd Sharkar menegaskan, walaupun Umno berdepan situasi sukar, parti itu akan terus berjuang sebagai parti politik pembangkang.

"Kita yakin dengan trek baik dan kewibawaan yang ada serta pengalaman Tok Mat sebagai tokoh korporat berjaya, bekas Menteri Besar yang membangunkan Negeri Sembilan dapat membantu Umno.

"Kita penuh yakin beliau mampu menggalas tugas ini dengan kerjasama semua ahli parti. Lupakan perbezaan dan fokus pada perjuangan dan hala tuju parti," jelasnya.