Kualiti aset bank terus kukuh: BNM

No Image Caption
A
A
A

KUALITI aset bank terus kukuh dengan nisbah pinjaman terjejas bersih keseluruhan kekal stabil pada 1.0 peratus, menurut Bank Negara Malaysia (BNM) dalam "Sorotan Bulanan - April 2019” yang dikeluarkan hari ini.

Bank pusat itu berkata bank terus mempunyai penampan yang mencukupi untuk menghadapi kemungkinan kerugian kredit dengan jumlah peruntukan sebanyak 92.7 peratus daripada jumlah pinjaman terjejas.

Sementara itu, jumlah pinjaman yang dikeluarkan susut kepada RM101.6 bilion pada April 2019 daripada RM108.7 bilion pada Mac 2019, tetapi nyata lebih tinggi berbanding purata bulanan 2014-2018 sebanyak RM93.0 bilion dalam segmen perniagaan dan isi rumah.

"Pertumbuhan pinjaman terkumpul pada bulan tersebut sederhana kepada 4.5 peratus berbanding 4.9 peratus pada Mac, berikutan pertumbuhan pembayaran balik pinjaman terus mengatasi pertumbuhan dalam pengeluaran pinjaman,” menurut bank pusat itu.

Sementara itu, pinjaman perniagaan terkumpul meningkat 3.2 peratus berbanding 4.1 peratus pada Mac, mencatatkan pertumbuhan yang lebih rendah dalam banyak sektor, manakala pinjaman isi rumah terkumpul berkembang 5.2 peratus berbanding 5.3 peratus pada bulan sebelumnya.

BNM berkata prestasi pasaran kewangan domestik terjejas oleh perkembangan di luar dan dalam negeri, menyebabkan aliran keluar portfolio bukan pemastautin secara menyeluruh daripada pasaran bon dan ekuiti domestik.

"Sentimen pelabur terjejas disebabkan terutamanya oleh kebimbangan mengenai ketegangan geopolitik dan unjuran pertumbuhan dunia yang lebih rendah oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF),” katanya. Laporan mengenai kemungkinan Malaysia menyertai World Government Bond Index (WGBI) turut menjejaskan sentimen dalam pasaran bon domestik, katanya.

"Susulan perkembangan tersebut, FBM KLCI merosot 0.1 peratus manakala kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun meningkat 3 mata asas pada bulan April,” menurut BNM.

Artikel Berkaitan:

Katanya ringgit susut 1.3 peratus berbanding dolar US pada April 2019, sejajar dengan kebanyakan mata wang serantau yang bergerak dalam julat -2.4 peratus dan +1.3 peratus berbanding dolar US. -Bernama