PRK Cameron Highlands: Sivarraajh serah keputusan parti

C Sivarraajh
C Sivarraajh
A
A
A

KUANTAN - Bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C Sivarraajh menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti sama ada terus memberi peluang kepadanya untuk bertanding pada PRK Cameron Highlands atau sebaliknya.

Menurutnya, terpulang kepada keputusan parti sama ada beliau atau ada calon lain yang lebih sesuai.

“Paling penting kita sudah bersedia untuk berdepan PRK dan sudah lama berkhidmat untuk rakyat di sini.

“Saya sendiri selama tujuh bulan berkhidmat sebagai Ahli Parlimen sekaligus memberi peluang kepada pengundi menilai kemampuan BN selama ini dalam membantu dan menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Sivarraajh yakin sokongan pengundi terus memihak kepada kepada BN pada PRK itu kerana rakyat di kawasan berkenaan dapat menilai sejauh mana khidmat BN khasnya MIC kepada rakyat selama ini.

“Walaupun BN sebagai pembangkang, namun kita masih menerajui Pahang sebagai kerajaan negeri dan sudah semestinya mampu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi rakyat di sini terutama berkaitan tanah dan sebagainya.

“Isu-isu melibatkan tanah antara masalah utama di sini dan ia di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, jadi senang untuk diselesaikan jika kawasan ini terus di bawah BN,” jelasnya.

Sementara itu katanya, keputusan Pas tidak meletakkan calon pada PRK itu mungkin akan membantu BN untuk terus mempertahankan kerusi tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Kita harapkan pengundi Pas akan beri sokongan kepada BN atas semangat blok pembangkang kerana kita memerlukan suara yang kuat di Parlimen untuk semak dan imbang kepada kerajaan,” ujarnya.

Sivarraajh antara calon yang akan dipertimbangkan MIC untuk bertanding pada PRK itu berikutan maklum balas positif daripada akar umbi.

Pada PRU14, Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands yang melibatkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 undi, menewaskan empat calon lain termasuk calon DAP M Manogran yang meraih 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud (Pas– 3,587 undi); Mohd Tahir Kassim (Berjasa – 81 undi) dan B Suresh Kumar (PSM – 680 undi).

Manogaran, 59, memfailkan petisyen pilihan raya pada 4 Jun lalu dengan memohon pengisytiharan keputusan PRU14 untuk kerusi Parlimen Cameron Highlands terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.