Jangan pinggir pelajar cemerlang India Muslim

(Dari kiri) Maszlee, Shaik Faridhudheen, Mohamed Haniff, Mohd Azman dan barisan Exco PERMIM berbincang mengenai pelajar-pelajar cemerlang India Muslim lepasan SPM yang gagal melanjutkan pelajaran ke IPTA, di pejabat Menteri Pendidikan di Putrajaya, semalam.
(Dari kiri) Maszlee, Shaik Faridhudheen, Mohamed Haniff, Mohd Azman dan barisan Exco PERMIM berbincang mengenai pelajar-pelajar cemerlang India Muslim lepasan SPM yang gagal melanjutkan pelajaran ke IPTA, di pejabat Menteri Pendidikan di Putrajaya, semalam.
A
A
A

PUTRAJAYA – Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (PERMIM) menggesa Kementerian Pendidikan tidak meminggirkan pelajar-pelajar cemerlang India Muslim lepasan SPM untuk melanjutkan pelajaran ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).

Timbalan Presidennya, Shaik Faridhudheen Anverdeen berkata, setiap tahun masalah sama sering kali timbul dan sehingga kini masih belum ada jalan penyelesaian.

“Dalam memastikan kecemerlangan akademik anak-anak kami, kami telah mengadakan kelas tambahan dan bengkel menjawab soalan-soalan peperiksaan kepada calon-calon yang akan mengambil peperiksaan.

“Malangnya, apabila keputusan peperiksaan diumumkan, walaupun mereka memperoleh keputusan cemerlang, mereka tetap gagal mendapat tempat di universiti awam serta mengambil jurusan kritikal seperti perubatan dan perubatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Semalam, PERMIM telah mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik di pejabatnya di sini bagi meminta agar isu ini segera diselesaikan untuk jangka masa panjang.

Tambah Shaik Faridhudheen, kegagalan pelajar-pelajar cemerlang India Muslim mendapat tempat di universiti walaupun mempunyai keputusan cemerlang telah membunuh semangat mereka.

“Ada satu kes seorang pelajar dari Johor yang mendapat 11A dan memohon kursus kejuruteraan, sebaliknya apabila menerima surat tawaran, kursus teknologi maklumat (IT) pula yang pihak universiti tawarkan.

“Mengapa perlu jadi begitu. Kasihanlah pelajar itu, kerana cita-citanya ingin menjadi jurutera,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, tambah Shaik Faridhudheen, beliau dan delegasi berpuas hati dan berterima kasih atas keprihatinan menteri terhadap isu-isu yang dibincangkan dalam pertemuan.

“Dr Maszlee akan meminta Unit Pusat Universiti (UPU) memberikan penjelasan mengenai perkara ini dalam masa terdekat.

“Walaupun pertemuan dengan menteri hanya mengambil masa 45 minit, tetapi PERMIM yakin isu-isu yang dibincangkan akan mendapat suatu penyelesaian yang kekal,” ujarnya lagi.

Menurut Shaik Faridhudheen lagi, pertemuan ini adalah susulan kepada pertemuan bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada April lalu.

Hadir sama, Naib Presiden PERMIM, Mohd Azman Shah Penasihat Undang-undang PERMIM Mohamed Haniff Khatri Abdulla serta Exco yang lain.

PERMIM merupakan badan induk bagi NGO-NGO India Muslim yang dianggotai hampir 60 memperjuangkan pelbagai isu antaranya Pembangunan Sosial Ekonomi serta Pendidikan masyarakat India Muslim di negara ini.