Tolong, jangan pisahkan kami...

Muhammad Ali (dua,kanan) dan Zamri (kanan) ketika mengunjungi kediaman enam beradik ini.
Muhammad Ali (dua,kanan) dan Zamri (kanan) ketika mengunjungi kediaman enam beradik ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Demikian gambaran boleh diberikan sebaik melihat sendiri kehidupan enam beradik yang tinggal di sebuah rumah kedai atas ihsan pemiliknya.

Enam beradik ini hilang tempat bergantung selepas ibunya, Salina Sulaiman, 35, meninggal dunia akibat kanser rahim Disember lalu sementara bapa mereka telah terpisah sebelum ibunya meninggal dunia lagi.

Sejak itu, Noorazlina Abdullah, 17, sebagai anak sulung dan adik lelakinya Muhd Denny Hakimie Emran,16, menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga termasuk bekerja demi menyara adik-adiknya yang masih kecil.

Sejak kisah mereka tular di media sosial, Noorazlina akui menerima kunjungan dan bantuan daripada pelbagai pihak malah ada juga cadangan dikemukakan untuk menempatkan mereka di rumah anak yatim.

Enam beradik yang kini hilang tempat bergantung. - FOTO MUHAMMAD ALI
Enam beradik yang kini hilang tempat bergantung. - FOTO MUHAMMAD ALI

Namun kata Noorazlina, biarpun kehidupan mereka sukar, arwah ibunya telah mengamanahkan kepadanya dan adiknya, Muhd Denny untuk sentiasa bersama menjaga empat lagi adiknya.

"Mak pesan jangan pisah adik beradik. Itu amanah mak pada kami. Saya sayang semua adik-adik saya, saya tak nak dipisah-pisahkan.

Artikel Berkaitan:

"Memang ada yang minta nak ambil anak angkat atau hantar rumah anak yatim, tapi saya tak nak berpisah dengan mereka," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Ulu Tiram, hari ini.

Menurut Noorazlina, ibunya sering sakit pada Mei tahun lalu sebelum mendapat rawatan di Hospital Sultan Ismail pada bulan September.

"Sebelum ini kami tak tahu pun mak sakit. Bulan Mei itu mak dah mula sakit teruk di rumah, bulan September baru mak masuk hospital.

"Bulan Disember mak tinggalkan kami dan sejak itu kami dibantu makcik menyewa di Kampung Tenang sebelum dikenalkan dengan bos (pemilik kedai runcit Z Mart milik Mohd Zamri Maulud, 52) dan tinggal di sini," katanya.

Mohd Zamri mempelawa keenam-enam beradik ini tinggal di rumah kedai miliknya secara percuma sejak dua bulan lalu malah Azlina dan Hakimie dibenarkan bekerja secara sambilan di Z Mart dengan menerima upah kira-kira RM1,000 sebulan.

Azlina membancuhkan susu untuk adik bongsunya yang baru berusia dua tahun.
Azlina membancuhkan susu untuk adik bongsunya yang baru berusia dua tahun.

Kata Hakimie, ketika dia dan kakaknya bekerja, anak ketiga, Puteri Dennish Ismilraha Soleha, 14, akan menjaga tiga lagi adik mereka yang masih kecil.

Puteri Nur Isfarezah Zehra berusia 5 tahun, Puteri Nur Isma Balqis Madiha 4 tahun dan bongsu, Muhd Nur Fateh Ikhwan Shami 2 tahun.

Difahamkan adik-adiknya itu di bawah pemantauan doktor susulan kekurangan nutrisi.

Sementara itu, Mohd Zamri yang mendapat hak penjagaan sementara tiga hari lalu ketika ditemui berkata sebagai manusia dia tidak sampai hati membiarkan enam beradik itu terbiar tanpa diurus orang dewasa.

"Saya dapat tahu tentang mereka daripada kawan-kawan di Kg Tenang ketika itu arwah ibunya masih ada. Saya hantar bantuan makanan.

"Selepas arwah meninggal, mereka hilang tempat bergantung dan kehidupan mula tak menentu. Noorazlina kerja kilang lepas itu tapi gajinya cuma RM650 dan rumah sewa termasuk api air kena bayar RM550 setiap bulan.

"Saya fikir, takkanlah RM100 nak tampung hidup sebulan. Mak ayah tak ada, tiada yang dewasa, semua bawah umur jadi saya bincang dengan ketua kampung dan mak cik mereka akhirnya mereka setuju untuk saya bawa ke sini," katanya.

Sukarelawan Little Friends, Muhammad Ali Omar berkata, banyak pihak telah menyumbang daripada segi barangan keperluan termasuk mesin basuh, peti ais, kelengkapan rumah serta perkhidmatan pendawaian elektrik.

Enam beradik ini tinggal di rumah kedai atas ihsan pemiliknya sejak dua bulan lalu. - FOTO MUHAMMAD ALI
Enam beradik ini tinggal di rumah kedai atas ihsan pemiliknya sejak dua bulan lalu. - FOTO MUHAMMAD ALI

"Mula-mula kami sampai sini memang rumah ini daif sangat keadaannya jadi kami bersama sukarelawan-sukarelawan lain gotong royong bersihkan dan atur kembali peralatan yang ada.

"Cuma sekarang kami memerlukan khidmat seorang ustazah yang boleh berkongsi ilmu asas kepada mereka kerana kita sudah ada wakil ustaz untuk bantu anak lelaki," katanya.

Pihaknya sedang mengusahakan proses dokumentasi dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan urusan persekolahan bagi anak-anak yang masih kecil sementara pendidikan kemahiran untuk yang dewasa.

Setakat ini mereka semua tidak bersekolah di mana Noorazlina berhenti sekolah ketika di Tingkatan 2, Hakimie berhenti di Tingkatan 1 dan Soleha di Tahun 6.

Sebarang bantuan boleh disalurkan ke akaun BSN Noorazlina 0120041100009958.