X

Kindly register in order to view this article
!

Waspada demam denggi pada musim perayaan

Dr Mohd Jusoh
A
A

KUALA TERENGGANU - Orang ramai diminta berwaspada terhadap serangan demam denggi ekoran peningkatan sebanyak 237 kes (329.2 peratus) menjadikan sebanyak 309 kes bagi tempoh 1 Januari hingga 25 Mei lalu.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Mohd Jusoh berkata, jumlah kes melibatkan denggi dalam tempoh hampir lima bulan tahun ini dilihat lebih tinggi berbanding hanya 72 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Katanya, daerah Kuala Terengganu mencatatkan peningkatan kes tertinggi dengan 153 kes di samping 50 kes di Marang, Kuala Nerus (33 kes), Dungun (31 kes), Hulu Terengganu (11 kes) manakala Setiu (6 kes).

"Dua daerah merekodkan penurunan iaitu daripada 13 kes kepada 11 kes di Kemaman dan di Besut pula sebanyak 14 kes berbanding 20 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

"Walaupun secara keseluruhan terdapat peningkatan ketara, namun penurunan kes tetap berlaku pada setiap bulan dengan Januari menunjukkan 131 kes manakala hanya 28 kes dicatatkan pada bulan ini," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd berkata, walaupun tiada wabak aktif denggi dikesan di seluruh Terengganu buat masa ini, pergerakan besar-besaran orang ramai sempena Aidilfitri serta keadaan cuaca yang tidak menentu dikhuatiri akan meningkatkan kes demam denggi di negeri ini.

"Kita mengingatkan orang ramai supaya lebih proaktif dalam mencegah pembiakan nyamuk aedes di tempat tinggal mereka sepanjang musim cuti.

"Bagi mereka yang menerima kepulangan sanak saudara serta tetamu semasa perayaan perlu bersedia agar rumah mereka bebas daripada nyamuk," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd. berkata, sebanyak 81,857 premis telah diperiksa sehingga April lalu dengan sebanyak 1,299 premis dikesan positif pembiakan Aedes.

"Walaupun pemeriksaan dilakukan dari masa ke semasa, kesedaran setiap individu itu lebih penting bagi membendung penularan wabak denggi di kawasan dan tempat tinggal masing-masing.

"Kita harap orang ramai lebih peka terhadap perkara ini dan tidak memandang remeh mengenai bahaya demam denggi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd berkata, pihaknya menjangkakan kes kecemasan dan trauma di negeri ini akan meningkat kepada 450 kes sehari berbanding purata 300 kes pada hari biasa.

"Sempena musim perayaan ini, kita jangka jumlah kes melibatkan kecemasan dan trauma meningkat.

"Bagaimanapun, kita yakin, bekalan darah yang terkumpul sebanyak 1,159 unit setakat ini mencukupi berdasarkan penggunaan darah semasa di semua hospital di seluruh negeri antara 40 dan 50 unit sehari," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus