300,000 penerima BSH terjejas

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 fasa kedua tidak dapat dikreditkan ke dalam akaun bank 300,000 penerima disebabkan nombor akaun bank yang didaftarkan tidak tepat.

Kementerian Kewangan memaklumkan pembayaran BSH 2019 bagi penerima berumur 59 tahun ke bawah adalah melalui akaun bank isteri.

"Perkara ini telah diumumkan kepada setiap penerima BSH melalui surat makluman dan turut dipaparkan di dalam portal BSH https://bsh.hasil.gov.my untuk makluman umum.

"Namun demikian, sebilangan penerima BSH 2019 telah mendaftarkan nombor akaun bank suami dan ini mengagalkan pengkreditan akaun kerana nombor akaun tersebut bukan di bawah nama isteri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan tersebut, bagi memastikan penerima yang gagal dikreditkan menerima pembayaran berkenaan, Bank Simpanan Nasional (BSN) akan mewujudkan akaun bank baharu secara automatik untuk penerima yang berkenaan.

Katanya, maklumat akaun bank baharu boleh diketahui melalui surat makluman yang akan dikeluarkan dengan melayari portal BSH.

"Pembayaran bagi golongan tersebut akan dikreditkan terus ke akaun berkenaan mulai 14 Jun 2019.

"Di samping itu, penerima dari kawasan pedalaman dengan akaun bank yang turut menerima pembayaran mulai 14 Jun 2019 manakala bagi penerima pedalaman yang tiada akaun pula akan dibuat mulai 1 Julai 2019 secara tunai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Seperti yang telah diumumkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada 24 Mei 2019 dan 28 Mei 2019 mengenai pembayaran fasa kedua Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019, peruntukan yang terlibat adalah sebanyak RM1.42 bilion dan memanfaatkan hampir 3.6 juta penerima BSH.

Sehingga 31 Mei 2019, bayaran fasa kedua BSH 2019 telah berjaya disalurkan ke dalam akaun bank bagi 3 juta penerima BSH 2019.