X

Kindly register in order to view this article
!

Ziarah membawa berkat

A
A

WALAUPUN pada hari ini sudah memasuki tiga Syawal, rasanya kemeriahan Hari Raya Aidilfitri masih lagi terasa.

Penulis percaya, ketika ini, masih ramai yang menghabiskan sisa cuti mereka di kampung halaman masing-masing bersama keluarga tercinta.

Bagi yang tidak berkesempatan pulang ke kampung, sudah tentu mereka menyambut lebaran bersama rakan sepejabat mahupun jiran tetangga.

Ya, pada musim perayaan, amalan kunjung mengunjung dan ziarah menziarahi pastinya menjadi agenda paling signifikan.

Islam sendiri sangat menggalakkan umatnya berbuat demikian demi mengeratkan silaturahim sesama manusia.

Bagaimanapun, agama menggariskan adab ziarah perlu dititik beratkan oleh setiap umatnya.

Justeru, jangan sampai matlamat ziarah dicemari hingga boleh menimbulkan rasa kurang senang antara tetamu dan tuan rumah.

Minta izin

USTAZAH SITI FATAHIYAH
USTAZAH SITI FATAHIYAH

Mengulas mengenai adab ziarah, Sinar Islam mendapatkan pandangan Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ustazah Siti Fatahiyah Mahamood.

Ujar Ustazah Siti Fatahiyah, budaya berziarah sebenarnya bertujuan untuk menguatkan lagi silaturahim kekeluargaan dan persahabatan.

Maka, pada Hari Raya Aidilfitrilah peluang yang perlu digunakan sebaiknya untuk melakukan ziarah.

"Amalan itu bukan sahaja kerana untuk merapatkan hubungan dengan kasih sayang tetapi juga bagi mendapat rahmat dan berkat daripada ALLAH SWT.

"Sebenarnya, amalan berziarah tidak hanya dikhususkan pada bulan Syawal sahaja tetapi ia perlu diamalkan secara berterusan bila ada kelapangan," katanya baru-baru ini.

Seperkara lagi, kata Ustazah Siti Fatahiyah, budaya tersebut sangat penting terutamanya untuk memperbaiki hubungan silaturahim bagi mereka yang bertelingkah atau yang renggang dalam perhubungan.

Ia sebagaimana firman ALLAH SWT: "Sesungguhnya orang-orang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada ALLAH supaya kamu beroleh rahmat." (Surah al-Hujurat, ayat 10).

Apapun, Ustazah Siti Fatahiyah yang juga perunding motivasi mengingatkan supaya setiap daripada umat Islam haruslah memperbetulkan niat terlebih dahulu sebelum memulakan kunjungan agar ia tidak dilakukan hanya kerana untuk menunjuk-nunjuk atau berlagak sombong.

"Ingat, Niat kunjungan adalah untuk menguatkan persaudaraan kerana ALLAH SWT," jelasnya.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu ALLAH menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: 'Ke manakah engkau mahu pergi?' Jawab lelaki itu: 'Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini'. Malaikat berkata: 'Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya?' Lelaki itu berkata: 'Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana ALLAH SWT'. Malaikat itu berkata: 'Sesungguhnya aku adalah utusan ALLAH yang dihantar kepada engkau. ALLAH mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu'.” (Riwayat Muslim)

Di samping itu, kata Ustazah Siti Fatahiyah, budaya ziarah-menziarahi ini juga menjadi platform kepada generasi muda agar dapat memupuk sifat terpuji dan akhlak murni dengan menghormati orang tua, tolong-menolong, menjaga adab dan sopan santun ketika bergaul.

Minta izin dahulu

Siapakah yang patut diutamakan ketika berziarah? Kata Ustazah Siti Fatahiyah, ia sebenarnya perlu melihat kepada keperluan dan keutamaan.

"Memang benar keluarga perlu diutamakan, namun hubungan dengan jiran juga perlu dijaga kerana mereka juga punya hak untuk dipenuhi.

"Jiran juga merupakan mereka yang paling terdekat untuk membantu kita ketika kecemasan tetapi jangan lupa dalam kesibukan kita membuat jemputan untuk rumah terbuka atau apa-apa majlis keraian, pastikan kita turut menjemput jiran tetangga," jelas beliau.

Kepada satu soalan, Ustazah Siti Fatahiyah berkata; "Waktu yang sesuai untuk berziarah atau bertandang ke rumah seseorang adalahapabila kita dijemput ataupun jika ada keperluan untuk kita bertandang, maka kita harus meminta izin tuan rumah terlebih dahulu.

"Ini perlu bagi memastikan mereka bersedia untuk menyambut kehadiran kita dengan hati yang lapang dan pada waktu yang selesa dengan kehendak mereka.

"Ia juga dapat membantu kita untuk menguruskan perjalanan kita sekiranya mereka tidak berada di rumah ketika itu. Paling penting, pastikan kita memberi salam ketika sampai di rumah mereka dan kiranya salam tidak dijawab sebanyak tiga kali, maka kita perlu beredar," kata beliau.

Dalam pada itu, beliau turut menegur sikap sebilangan masyarakat yang memberi salam di tengah-tengah pagar atau halaman kediaman tuan rumah sambil mengintai ke dalam rumah berkenaan.

"Adab memberi salam yang betul ialah pastikan kita berdiri di tepi kiri atau kanan pagar rumah ketika memberi salam.

"Satu lagi, kita kena duduk di tempat yang telah disediakan oleh tuan rumah. Jangan pula kita sibuk mengintai ruang lain atau ke sana ke mari sesuka hati bagi mengelakkan perasaan kurang senang tuan rumah. Ia juga bagi mengelakkan kita mencari keaiban tuan rumah dengan rumah mereka," katanya.

Selain itu, ujar beliau, beberapa adab ziarah lagi juga perlu dititik beratkan iaitu memakai pakaian yang menutup aurat, tidak terlalu lama bertandang. Paling penting, elakkan daripada bertanyakan soalan yang sensitif.

"Makanlah makanan yang disediakan dengan tertib. Seandainya minuman tumpah atau ada bekas jatuh dan pecah, pastikan kita cepat-cepat membantu dan jangan biarkan begitu sahaja tanpa rasa bersalah," katanya.

Muliakan tetamu

USTAZ HANAFI
USTAZ HANAFI

Sebagai tuan rumah, bagaimana adab kita melayan tetamu pula? Dalam hal tersebut, pendakwah Ustaz Hanafiah Abd Malek atau dikenali sebagai Ustaz Hanafi berkongsi ilmu mengenainya. Jelas agamawan itu, umat Islam dituntut supaya memuliakan tetamu yang bertandang ke rumah menziarahi kita.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang beriman dengan ALLAH dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetamu yang datang menziarahinya serta mengeratkan silaturahim dengan semangat persaudaraan Islam. Sesiapa yang beriman dengan ALLAH dan hari akhirat, hendaklah bercakap dengan perkataan yang baik dan manis didengar ataupun berdiam sahaja dari bercakap perkara yang sia-sia.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ustaz Hanafi menyambung hujah. Katanya, sebagai tuan rumah, jauhilah sikap bermasam muka dengan tetamu. Sebaliknya, layan mereka dengan sebaik-baiknya.

"Percayalah, apa yang kita bagi sama ada tenaga mahupun harta benda yang dikorbankan untuk diberikan kepada tetamu dengan ikhlas demi melaksanakan perintah ALLAH, setiap satunya akan dibalas ALLAH dengan kebaikan.

"Orang yang melayan tetamunya akan sentiasa murah rezeki dan mendapat rahmat dari ALLAH. Kita juga akan mendapat pahala sedekah atas layanan yang diberikan kepada tetamu," ujarnya.

Berikut ialah adab melayan tetamu seperti yang disarankan Ustaz Hanafi:

1) Tuan rumah perlu menyambut dan mengalu-alukan kedatangan tetamu.

2) Tuan rumah hendaklah menjemput tetamu masuk dan menunjukkan kemesraan dengan muka yang manis.

3) Tuan rumah perlu menyediakan tempat duduk yang bersih dan selesa untuk tetamu.

4) Sajikan makanan dan minuman yang terbaik mengikut kemampuan masing-masing.

5) Apabila tetamu hendak pulang, iringilah mereka ke muka pintu.

Kepada para suami dan bapa, Ustaz Hanafi turut menitipkan pesanan agar didiklah isteri serta anak masing-masing untuk turut sama memuliakan tetamu.

"Tidak perlulah membuat pelbagai alasan sehinggakan ada yang sanggup menipu hanya sekadar untuk mencipta alasan untuk mengelak dirinya daripada menerima tetamu ataupun supaya tetamu memendekkan waktu ziarah.

"Perbuatan itu bukan sahaja berdosa akibat bercakap bohong, malah, rahmat ALLAH juga akan meninggalkan kita," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!