Ekstradisi bekas ahli perbankan Goldman Sachs tangguh 4 Jan

1Malaysia Development Berhad
1Malaysia Development Berhad
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menangguhkan sehingga 4 Jan tahun depan bagi mendengar permohonan kerajaan untuk mengekstradisi bekas ahli perbankan Goldman Sachs Roger Ng, disebabkan dia tidak hadir di mahkamah hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar memberitahu mahkamah bahawa Ng, atau nama sebenarnya Ng Chong Hwa, 46, yang ketika ini ditahan di Penjara Sungai Buloh, tidak hadir berikutan ‘salah faham’.

Terdahulu, Hakim M. M. Edwin Paramjothy berkata kedua-dua pihak boleh meneruskan dengan pendengaran prosiding itu tetapi peguam Datuk Tan Hock Chuan, yang mewakili Ng, bertegas agar anak guamnya hadir di mahkamah.

Pada 12 Disember, kerajaan memfailkan permohonan mengekstradisi Ng ke Amerika Syarikat untuk berdepan tiga pertuduhan jenayah berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Permohonan itu dibuat oleh Jabatan Peguam Negara bagi pihak kerajaan Amerika yang mahu Ng dihantar balik ke Amerika untuk berdepan pertuduhan di Mahkamah Persekutuan di daerah timur New York.

Pada 1 November tahun ini, Ng ditahan polis dan kemudiannya direman 60 hari sementara menunggu permohonan ekstradisi itu didengar.

Mahkamah Tinggi di sini pada 13 Disember menolak permohonan Ng untuk dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu permohonan ekstradisi itu didengar atas alasan terdapat kemungkinan Ng akan melarikan diri dari negara ini dan kes itu membabitkan kepentingan awam serta negara di samping pertuduhan terhadap Ng melibatkan perkara serius.

Ng dijadual didakwa pada 2.30 petang ini di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan mengikut Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 membabitkan kes 1MDB. - Bernama

Artikel Berkaitan: