Keberanian rakyat Malaysia tukar kerajaan umpama penghijrahan

Ketibaan Dr Wan Azizah Wan Ismail di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz di Jeddah semalam disambut oleh Duta Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussein Qattan.
Ketibaan Dr Wan Azizah Wan Ismail di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz di Jeddah semalam disambut oleh Duta Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussein Qattan.
A
A
A

MAKKAH – Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menganggap keberanian rakyat Malaysia menukar kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) sejak lebih setahun lalu adalah suatu penghijrahan yang matang.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perubahan politik tersebut memperlihatkan rakyat juga membenarkan perubahan pentadbiran negara berlaku dalam keadaan aman dan damai.

Berucap kepada diaspora Malaysia pada majlis iftar di Restoran D’Saji, Jeddah dekat sini kelmarin, Dr Wan Azizah menyifatkan peralihan kuasa daripada BN kepada PH sebagai “suatu penghijrahan kepada yang lebih baik dan bermakna”.

“Di bumi Anbiya’ inilah, Ar-Rasul S.A.W telah membuat penghijrahan dari Kota Mekah ke Kota Madinah yang telah melakar Sejarah Tamadun Islam yang tersohor,” ujarnya.

Beliau kini berada di Arab Saudi selama empat hari untuk lawatan kerja termasuk mewakili Malaysia dalam Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang diadakan di kota suci Islam ini.

Dr Wan Azizah berucap pada majlis iftar bersama diaspora Malaysia di Restoran D'Saji, Jeddah, Arab Saudi semalam.
Dr Wan Azizah berucap pada majlis iftar bersama diaspora Malaysia di Restoran D'Saji, Jeddah, Arab Saudi semalam.

Dr Wan Azizah ialah salah seorang pemimpin kerajaan OIC yang dijemput datang ke Makkah bersama ketua-ketua negara dan kerajaan dari 57 buah negara anggota OIC.

Turut bersama beliau menghadiri mesyuarat itu ialah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan para pegawai Kementerian Luar.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis iftar kelmarin, Timbalan Perdana Menteri sempat beramah mesra dengan para pegawai kerajaan, agensi dan pegawai dagang Malaysia yang berada di Jeddah.

Suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Ahli Parlimen Port Dickson juga mengiringinya dalam lawatan kerja itu.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, agenda membanteras rasuah, penjimatan sumber, kebajikan masyarakat dan penyusunan semula agensi-agensi kerajaan merupakan perkara-perkara utama yang ditekankan oleh kerajaan baharu PH.

Beliau percaya semua rakyat mahu Malaysia dikenali kerana integriti dan bukannya kerana rasuah.

Langkah ke arah pentadbiran bebas rasuah, kata beliau, akan digiatkan dengan terbentuknya Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional serta pelancaran Pelan Anti-Rasuah Nasional 2019-2023.

“Saudara dan saudari telah pun tahu akan kes-kes kewangan yang antara lain melibatkan 1MDB, Lembaga Tabung Haji, Felda, Felcra, dan banyaknya dana yang diperlukan untuk menyelamatkan institusi-institusi ini.

“Yang terlibat dalam rasuah, tidak kira ikan paus atau ikan bilis, mereka akan disiasat dan dengan bukti yang mencukupi, akan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Beliau menyeru diaspora Malaysia yang berada di Arab Saudi berusaha membantu membina semula negara selepas penghijrahan politik yang berlaku.

“Saya kira masyarakat Malaysia di Arab Saudi dapat turut sama-sama membantu dalam proses membina semula Malaysia mengikut kemampuan masing-masing, antaranya dengan memberi input-input membina supaya dasar yang lebih efektif dapat diperkenalkan,” tegas beliau.

Mereka juga, jelas Timbalan Perdana Menteri, berperanan memberikan penerangan mengenai Islam yang dapat membawa rahmat ke seluruh alam selain menjadi ‘duta’ kepada Malaysia dalam menyebarkan maklumat yang benar kepada masyarakat di Arab Saudi.