Proton catat jualan kedua paling laris

PROTON Iriz antara kenderaan yang digemari rakyat Malaysia.
PROTON Iriz antara kenderaan yang digemari rakyat Malaysia.
A
A
A

PERUSAHAAN Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) sekali lagi kembali menjadi antara dua jenama automotif yang mencatatkan jualan paling laris pada April 2019 apabila angkanya melonjak 75 peratus tahun ke tahun atau 14.1 peratus bulan ke bulan kepada 7,011 unit.

Syarikat pembuat kereta nasional itu berada di kedudukan kedua bagi jualan bulanan buat kali pertama sejak Februari 2016.

Dalam satu kenyataan baru-baru ini, Proton berkata, prestasi jualan yang kukuh dicatatkan model Saga dan X70 adalah pemacu utama bagi pencapaian tersebut, selain memperoleh dorongan jualan susulan pelancaran rasmi model Iriz dan Persona 2019 pada 23 April.

"Prestasi itu dapat dicapai walaupun jumlah keseluruhan industri (TIV) mengalami penurunan apabila susut 6.2 peratus bulan ke bulan sekali gus menjadikan Proton sebagai satu-satunya jenama automotif yang berada pada kedudukan lima teratas merekodkan pertumbuhan positif,” menurut syarikat itu.

Malah Saga, menurutnya, telah menggantikan kedudukan X70 sebagai model Proton paling laris selepas 3,047 unit terjual pada April 2019 dan buat kali pertama melepasi jumlah 3,000 unit sejak Ogos 2018 semasa tempoh sifar cukai barang dan perkhidmatan selama tiga bulan.

“Peningkatan jualan itu menunjukkan penambahbaikan kualiti yang akan terus dilakukan ke atas kereta itu, di samping kualiti perkhidmatan pelanggan dan jualan lebih baik di 79 pusat 3S/4S, paling banyak menggunakan produk mana-mana pengeluar peralatan tulen di Malaysia dalam rangkaian jualan Proton,” katanya.

Mengenai X70, Proton berkata, ia kekal sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV) paling laris di Malaysia tahun ini menguasai 24 peratus daripada keseluruhan segmen.

“Berdasarkan 11,133 unit telah diserahkan setakat ini pada 2019, Proton X70 merupakan juara dalam kategori SUV premium (segmen C) dan pendahulu bagi kategori SUV eksekutif (harga di bawah RM100,000),” menurut kenyataan itu lagi.

Artikel Berkaitan: