Misi membudayakan al-Quran dalam kalangan bangsa

Marhaini Yusoff
Marhaini Yusoff
A
A
A

GOMBAK- Kempen World #QuranHour dijalankan secara berterusan bagi memastikan umat Islam sentiasa mengambil berat mengenai kitab suci berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, program itu tidak dilakukan secara bermusim bagi menyemai semangat cintakan al-Quran secara menyeluruh.

"Misi kita adalah mahu membudayakan al-Quran dalam kalangan ummah agar keimanan ummah dapat ditingkatkan. Kempen budayakan giat kita jalankan bukan bermusim sebaliknya kita istiqamah mengajak ummah mengamalkan al-Quran dalam gaya hidup mereka," katanya kepada Sinar Harian ketika berlangsungnya World #QuranHour di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini semalam.

Oleh sebab itulah katanya, sepanjang tahun ini penganjur QuranHour memasakkan umat Islam dengan amalan surah al-Kahf.

"Kita jalankan kempen secara berterusan agar umat kita sayang dan cintai al-Quran. "Alunan surah al-Kahf bergema di seluruh dunia sempena World #QuranHour yang berlangsung hari ini (semalam)," kata beliau.

World #QuranHour merupakan kolaborasi ummah di bawah naungan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan dianjurkan bersama oleh UIAM, WUIF, Majlis Dakwah Negara, Rumah Ngaji dan Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd.

Media turut bergabung atas nama Sinergi Media untuk menjayakan kempen ini termasuk Kumpulan Media Karangkraf, Sinar Harian, Sinar TV, Astro, Kumpulan Media Prima, RTM, Bernama, TV Alhijrah, IKIMfm, Kumpulan Utusan, Kumpulan NSTP dan blogger, Denaihati Network.

Artikel Berkaitan: