Tun M sahkan semula janji serah kepimpinan kepada Anwar

 Tun Dr Mahathir Mohamad - Foto Bernama
Tun Dr Mahathir Mohamad - Foto Bernama
A
A
A

TOKYO - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengesahkan semula janji beliau untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti dipersetujui oleh Pakatan Harapan (PH), walaupun tiada tempoh masa dinyatakan.

“Saya telah bersetuju yang Anwar akan mengambil alih dari saya dan saya akan mematuhi dengan perjanjian saya. Semasa pembentukan gabungan PH, adalah dipersetujui bahawa ia akan diketuai oleh saya sebagai pengerusi.

“Kami juga berjanji sekiranya saya menjadi PM, penggal saya akan dihadkan ke beberapa tempoh, tetapi masa sebenar tidak dinyatakan,” katanya dalam sesi dialog pada Persidangan Antarabangsa mengenai Masa Hadapan Asia kali ke-25, juga dikenali sebagai Persidangan Nikkei.

Perdana Menteri berkata, beliau akan turun “selepas tempoh masa tertentu bagi meletakkan ekonomi di landasan yang tepat.

Beliau berkata, berurusan dengan ekonomi Malaysia adalah satu isu yang paling besar dan menekan yang perlu diselesaikan sebelum peralihan kuasa.

“Kita perlu mengurangkan pinjaman kepada satu tahap tertentu di mana wang kita boleh digunakan untuk keperluan pembangunan,” katanya.

Cabaran lain ialah untuk menukar pemikiran orang ramai agar tidak bergantung dengan bantuan kerajaan, katanya.

Dr Mahathir menegaskan bahawa PH tidak begitu disukai oleh sesetengah rakyat Malaysia pada masa kini kerana ia tidak meneruskan amalan pentadbiran sebelum ini yang memberi “wang percuma”.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan sebelum ini gemar memberi wang percuma kepada orang ramai. Semua orang mendapat wang percuma. Jika anda seorang bujang, anda mendapat RM450, nelayan, RM300. Mereka diberi wang tanpa berbuat sesuatu.

“Kini kita mengambil alih dan menanggung beban hutang yang banyak ini. Kita tidak ada wang dan kita tidak boleh memberi wang percuma kepada orang ramai. Disebabkan itu, mereka tidak suka kita. Tetapi ia terpaksa dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, tidak ada cara kerajaan boleh membetulkan masalah kewangan tanpa perlu berhati-hati dan berhemat dalam pengurusannya.

“Kami mahu mereka (orang ramai) mempunyai pekerjaan dan mendapatkan wang. Kerajaan juga akan mempunyai cukup kekayaan dan kita boleh membayar hutang dan wujudkan lebih banyak pekerjaan,” katanya.

Dr Mahathir berkata, sebuah negara dengan rakyatnya bergantung kepada kerajaan untuk wang percuma tidak akan berkembang, manakala sebuah negara di mana rakyatnya bekerja keras untuk mewujudkan kekayaan akan sejahtera. - Bernama