Berbuat baik kepada ibu bapa amalan dicintai ALLAH SWT

A
A
A

ALLAH SWT memerintahkan hamba-Nya agar berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan mentaati mereka selagi mana perkara yang diperintahkan tidak bercanggah dengan syarak.

Ini kerana ibu bapa telah mencurahkan jasa bakti yang amat besar kepada anak-anak sehingga mereka berkorban nyawa, tenaga dan harta.

Kedudukan ibu bapa di sisi ALLAH amatlah tinggi sehinggakan ALLAH meletakkan perintah berbuat baik kepada ibu bapa selepas atau bersebelahan dengan perintah tidak menyembah selain daripada ALLAH dan mensyirikkan-Nya dengan sesuatu apa pun.

Perintah yang dimaksudkan sebagaimana firman-Nya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)." (Surah Luqman, ayat 14)

Malah, berbuat baik kepada ibu bapa merupakan antara amalan yang paling dicintai oleh ALLAH SWT sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud RA yang mana beliau berkata: "Aku bertanya kepada Rasulullah SAW apakah amalan yang paling dicintai oleh ALLAH SWT? Lalu baginda menjawab: "Mengerjakan solat pada waktunya”. Aku bertanya lagi, kemudian apa? Baginda menjawab: “Berbuat baik kepada ibu bapa." Aku bertanya lagi, kemudian apa? Baginda menjawab: "Jihad di jalan ALLAH." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)Bagi sesiapa yang sudah kehilangan kedua ibu bapanya, ia sama sekali tidak menghalang seseorang itu berbakti dan berbuat baik kepada orang tuanya. Antaranya sentiasa mendoakan pengampunan dan kesejahteraan mereka di alam barzakh. Amalan itu disebut jelas di dalam hadis baginda SAW: "Tiga amalan seseorang yang tidak akan terputus meskipun sudah meninggal dunia iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh." (Riwayat Muslim)

Selain itu, anak-anak disarankan menyedekahkan pahala amalan-amalan soleh kepada arwah orang tua seperti bacaan al-Quran, sedekah, umrah dan sebagainya.

Ia berdasarkan pendapat majoriti dalam kalangan ulama termasuk sebahagian ulama Mazhab Syafie yang berpendapat bahawa sampai pahala bacaan al-Quran dan seumpamanya kepada si mati.

Ada beberapa perkara yang kurang diambil cakna oleh masyarakat tentang cara berbuat baik kepada ibu bapa yang sudah tiada iaitu menunaikan wasiat dan hajat mereka yang belum tercapai, menyambung silaturahim saudara-mara ibu bapa dan berbuat baik dengan orang ada hubungan baik dan rapat kepada kedua ibu bapa.

Artikel Berkaitan:

Mengapa perlu anak-anak menjalinkan hubungan silaturahim dan ukhuwah seperti itu? Antaranya kerana amalan mulia tersebut menjaga nama ibu bapa agar sentiasa baik dan diingati oleh sanak-saudara dan sahabat-handai arwah ibu bapa atas kebaikan yang ditunjukkan oleh anak-anak mereka.

Secara tidak langsung, ia juga akan menyebabkan mereka mengingati kedua-duanya yang telah pergi dan mendoakan pengampunan dan kesejahteraan untuk mereka di alam barzakh. Justeru, berbaktilah kepada ibu bapa kerana ganjarannya tidak ternilai.

***Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed merupakan pendakwah bebas dan penulis.