Enam sektor di Batu Pahat kerap berlaku kemalangan

Kumarasan (kiri) menunjukkan lokasi kemalangan maut di negeri ini.
Kumarasan (kiri) menunjukkan lokasi kemalangan maut di negeri ini.
A
A
A
BATU PAHAT – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor akan memberikan tumpuan terhadap enam sektor di daerah ini yang kerap berlakunya kemalangan.

Ketuanya,Superitendan M Kumarasan berkata, enam sektor berkenaan ialah Parit Raja, Ayer Hitam, Yong Peng, Batu Pahat, Parit Sulong dan Rengit selain terdapat empat lokasi kawasan tumpuan (hotspot) kemalangan maut.

Menurutnya, lokasi tersebut ialah KM20-KM34 Jalan Kluang berhampiran Parit Raja; KM100-KM125 Jalan Johor Bahru-Melaka berhampiran Rengitt-Senggarang; KM100-KM115 Jalan Johor Bahru-Seremban berhampiran Yong Peng dan KM135-KM136 Jalan Johor Bahru-Melaka berhampiran Tanjung Laboh.

“Sebagaimana yang diumumkan oleh Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd semalam, selain memindahkan Pusat Kawalan dan Pemantauan Trafik (Subtek) dari Johor Bahru ke Batu Pahat, anggota polis trafik yang bertugas di sini (Batu Pahat) juga akan ditambah.

“Pada tahun ini, kekuatan polis trafik yang akan bertugas di Batu Pahat bersempena Ops Selamat 15 ini adalah terdiri daripada sembilan pegawai dan 55 anggota,” katanya semasa sidang media Subtek Ops Selamat JSPT Johor di Bilik Gerakan BSPT Batu Pahat, hari ini.

Menurutnya, sebanyak 67 kes kemalangan maut dicatatkan di daerah ini sejak awal tahun lalu sehingga semalam berbanding 68 kes pada tempoh yang sama tahun lalu walaupun pada tahun ini menunjukkan penurunan sebanyak satu kes.

Katanya, di Jalan Kluang-Batu Pahat sahaja, sebanyak 54 kes kemalangan telah dicatatkan pada tempoh yang sama selain mendapati faktor sikap serta kecuaian menjadi antara punca utama kemalangan di kawasan berkenaan.

Semalam , Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr Siti Zaharah Ishak, dilaporkan berkata daerah Batu Pahat merekodkan jumlah kematian akibat kemalangan maut tertinggi sebanyak 554 kes dalam tempoh tiga tahun ini.

Beliau dilaporkan berkata, Jalan Batu ke Kluang yang merentasi Ayer Hitam dikenal pasti laluan ‘hotspot’ berikutan banyak merekodkan kemalangan maut di negara ini.
Artikel Berkaitan:


ARTIKEL BERKAITAN: Johor, Perak dan Selangor catat kematian tertinggi jalan raya