KRU berkolaboratif dengan VSOCloud, lonjak industri filem, animasi, kesan khas dan bidang kreatif negara

Dari kiri: Norman, Ahmad Idham dan Yongquang pada pelancaran VSO Cloud Asia Tenggara Sdn Bhd di pejabat Finas, Ampang baru-baru ini.
A
A

BAGI menyumbang kepada tuntutan dan manfaat kreatif yang semakin meningkat dari perkongsian serantau, Prodigital Lab Sdn Bhd, anak syarikat Kumpulan KRU, telah bekerjasama dengan VSOCloud, syarikat teknologi terkemuka dari China.

Kedua-dua syarikat telah menandatangani perjanjian untuk membentuk sebuah syarikat usaha sama bagi memberikan perkhidmatan komprehensif dalam menyokong sekaligus melonjakkan industri filem, animasi, kesan khas dan bidang kreatif di Malaysia dan negara-negara ASEAN yang lain.

Syarikat yang dinamakan sebagai VSOCloud Asia Tenggara Sdn Bhd itu akan berpusat di KRU HQ, Teknologi Park Malaysia, Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan akan memulakan operasi pada 1 Julai 2019.

VSOCloud Asia Tenggara akan menjadi penyedia perkhidmatan rendering Komersial Malaysia yang pertama untuk studio di Malaysia dan juga akan membawa platform VSO China Crowd-Sourcing yang disediakan ASEAN, dan menyasarkan pasaran kreatif dan hiburan di seluruh Asia Tenggara.

Presiden Kumpulan KRU, Datuk Norman Abdul Halim berkata, pihaknya teruja dengan kerjasama itu yang boleh membantu industri dari segi kandungan yang lebih kreatif. "Perkhidmatan rendering mereka juga amat berkualiti tinggi dan jangka masa pengeluaran yang sangat pendek selain harga yang berpatutan.

"Ini adalah permulaan era baru yang menarik untuk industri animasi, filem Malaysia, dan menandakan satu kejayaan penting dalam hubungan Malaysia-China,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi semalam.

Majlis pelancaran syarikat usaha sama VSO Cloud Asia Tenggara Sdn Bhd itu telah berlangsung di pejabat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di Ampang, Selangor baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi VSO Dr Lu Yongquang, Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Menurut Norman, untuk menjadi sebahagian daripada pengembangan VSO di Asia Tenggara beliau percaya kolaboratif itu akan membuka peluang baharu terutamanya kepada usahawan baharu untuk hasilkan kandungan kreatif negara bagi menembusi pasaran China.

"Kemudian, diketengahkan ke peringkat global dari segi sokongan selepas pengeluaran, aktiviti pengedaran dan pelabur.

"VSOCloud Asia Tenggara adalah 51 peratus milik Prodigital Lab Sdn Bhd. Pembukaan pada 1 Julai ini, menyediakan khidmat rendering untuk filem animasi Malaysia, dan pembekal perkhidmatan rendering komersial pertama negara untuk studio animasi,” katanya.