X

Kindly register in order to view this article
!

50 OKU pendengaran sertai aktiviti psikososial, diraikan

Majlis diserikan dengan kehadiran maskot Omar & Hana.
A
A

SERAMAI 50 orang penerima manfaat dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) pendengaran diraikan dalam suasana penuh muhibah menerusi program Leave No One Behind.

Program dianjurkan oleh Islamic Relief Malaysia (IRM) itu turut mendapat kerjasama Malaysia Federation of The Deaf (MFD), sukarelawan dan kakitangan bahasa isyarat IRM serta Sahabat Faqeh Universiti Sains Islam Malaysia.

Antara aktiviti yang telah dijalankan selama program dua hari tersebut adalah aktiviti psikososial bersama maskot karakter kartun Islamik Omar & Hana dan Sahabat Faqeh.

Aktiviti turut dijalankan ialah membeli belah pakaian raya untuk anak-anak OKU, solat Duha, rakaman takbir dan lagu raya.

Kesemua penerima manfaat turut menerima sumbangan pek makanan Box of Kindness yang disampaikan oleh Penerbit Omar & Hana, Fadilah A Rahman.

Menurut Fadilah, projek Box of Kindness merupakan kolaborasi pertama antara syarikat produksi itu bersama IRM dalam usaha untuk menggerakkan kempen kemanusiaan dalam kalangan kanak-kanak.

“Ini merupakan sumbangan pertama Omar & Hana kepada IRM. Syukur projek ini berjalan lancar serta mencapai sasaran 50 pek makanan untuk agihan di Malaysia.

“Harapan Omar & Hana agar kerjasama ini tidak terhenti di sini dan akan berterusan untuk misi-misi akan datang dan semoga Omar & Hana dapat menyebarkan kebaikan bukan sahaja kepada kanak-kanak tetapi juga untuk seluruh rakyat Malaysia,” tambah Fadilah.

Sementara itu, IRM yang diwakili oleh Pengarah Bahagian Komunikasi dan Kempen, Siti Fadilah Mohd Hood berkata, bantuan ini diharap dapat menceriakan setiap keluarga yang terpilih sehingga tiba Syawal nanti.

"Semoga kerjasama ini berpanjangan,” katanya.

Awal Ramadan lalu, IRM dan Omar & Hana melancarkan kempen Ramadan: A Box of Kindness by Omar & Hana bertujuan untuk mengumpul dana bagi projek agihan pek makanan di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.

Sehingga kini, jumlah kutipan yang diterima amat memberangsangkan.