Orang Kelantan paling ramai sewa helikopter balik raya

Hazmi menyediakan perkhidmatan helikopter bagi mereka yang mahu pulang beraya tanpa kesesakan lalu lintas.
Hazmi menyediakan perkhidmatan helikopter bagi mereka yang mahu pulang beraya tanpa kesesakan lalu lintas.
A
A
A

GUA MUSANG - Lebih 20 buah helikopter disediakan bagi perkhidmatan, 'Balik Raya Elak Jem' di musim perayaan Aidilfitri ini.

Menurut pemilik syarikat pengurusan, Hazmi Dimasyq Group, Hazmi Hanipa, 31, perkhidmatan di musim perayaan ini adalah kali pertama diperkenalkan.

Katanya, sejak tiga tahun lalu, syarikatnya menyediakan perkhidmatan heli dan jet peribadi yang kebiasaannya menjadi pilihan ahli perniagaan.

"Ini merupakan tahun pertama untuk perkhidmatan sempena hari raya. Setakat ini, kita mendapat 11 permintaan yang mana paling tinggi adalah penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu.

"Penerbangan pertama bermula pada 3 Jun ini dan harga penerbangan ke Kelantan mencecah RM30,000 untuk sehala.

"Kita menyediakan lebih 20 buah helikopter untuk musim raya ini manakala penerbangan hari biasa melibatkan enam buah sahaja," katanya.

Menurut anak kelahiran Kampung Renok Baru, Gua Musang ini, dia tidak menyangka perkhidmatan ini mendapat permintaan tinggi terutamanya di kalangan ahli perniagaan.

"Untuk Kelantan sahaja, kita ada empat penerbangan setakat ini. Kita menyediakan dua jenis helikopter iaitu muatan tiga dan enam penumpang.

Artikel Berkaitan:

"Untuk penerbangan enam penumpang, harganya mencecah RM17,000 untuk satu jam dan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu memakan masa tiga jam.

"Alhamdulillah, melihat kepada permintaan, kita akan meneruskan perkhidmatan ini untuk musim-musim perayaan seterusnya," katanya.