‘Bukan mudah bekerja di pagi Syawal’

A
A
A

SEPERTI polis, tentera, jururawat, doktor, bomba mahupun askar yang bertugas pada Hari Raya Aidilfitri, juruterbang juga tidak ketinggalan.

Jika tiada mereka, tidak berpeluanglah orang ramai pulang ke kampung waima ke mana-mana destinasi pada musim perayaan.

Apa yang pasti, memang tidak mudah untuk sesiapa pun bekerja pada pagi lebaran. Rasanya kalau terdengar alunan lagu raya, air mata jantan pun boleh berguguran.

Fiq (kiri) dan Azri sentiasa ingin memberikan perkhidmatan terbaik kepada penumpang AirAsia.
Fiq (kiri) dan Azri sentiasa ingin memberikan perkhidmatan terbaik kepada penumpang AirAsia.

Mengenangkan pengorbanan kerjaya seorang juruterbang, Oh! Lelaki mengambil kesempatan menemubual dua orang juruterbang AirAsia yang pernah berpengalaman bekerja pada hari raya.

Mereka ialah Shafiq Haizam Mohd Kamil, 28, atau mesra di panggil Fiq dan Azri Sharif Badar Sharif, 33, atau Azri.

Kedua-duanya menyimpulkan, pengalaman yang direntas sebelum ini merupakan memori yang terindah walaupun sejujurnya bukan mudah.

Fiq yang merupakan Juruterbang Kanan AirAsia X Malaysia berkata, beliau secara peribadi tidak kisah kerana kesedihan yang ditanggung hilang sama sekali tatkala melihat wajah pelanggan yang gembira sebaik tiba di kampung halaman.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan rekod, beliau pernah menerbangkan sejumlah penumpang ke Tianjin, China; Fukuoka, Japan; Jeju, Korea; Amritsar, India dan Melbourne, Australia.

Fiq sedia memberikan khidmat yang diperlukan di hari lebaran
Fiq sedia memberikan khidmat yang diperlukan di hari lebaran

“Saya bersedia dengan pelbagai keadaan termasuk bertugas pada hari lebaran. Darah daging keluarga yang bekerja dalam industri penerbangan membuatkan saya lebih memahami,” katanya sambil memberitahu, ayah dan abangnya juga seorang juruterbang manakala kakak ipar dan isterinya bertugas sebagai pramugari.

Apa pula cerita Azri yang merupakan Juruterbang Kanan AirAsia Malaysia yang pernah membawa penumpang melewati beberapa negara seperti Bangkok, Thailand; Jakarta, Indonesia; Manila, Filipina; Kota Kinabalu, Sabah dan Guangzhou, China?

“Saya sama seperti Fiq. Bagi saya apabila kita sudah memilih sesuatu kerjaya, kita harus berkorban dengan segala macam perkara termasuk bekerja pada hari raya. Memang sedikit sedih namun tanggungjawab harus dilunaskan,” katanya yang meminati kerjaya juruterbang sejak kecil lagi.

Ikuti temu bual lanjut Oh! Lelaki bersama dua juruterbang macho itu mengenai cetusan perasaan mereka ketika bertugas sekali gus beraya di awan biru.

1. Terlebih dahulu, boleh kongsi dengan Oh! Lelaki tentang bidang tugas seorang juruterbang?

FIQ: Penerbangan saya meliputi destinasi penerbangan lebih dari empat jam ke atas dan ada perlu bermalam di sesuatu destinasi. Paling pendek, trip penerbangan saya mengambil masa tiga hari dan paling lama sampai sembilan hari.

Skop tugas saya bermula sejam sebelum penerbangan. Kami akan menerima taklimat dan maklumat tentang setiap penerbangan yang bakal dilakukan.

Sebelum penerbangan, kami akan menyemak pelan penerbangan berdasarkan keadaan cuaca, suhu, kelajuan angin dan berat pesawat semasa berlepas serta keperluan bahan api di samping memeriksa kelengkapan dan peralatan elektronik.

Semasa penerbangan pula, kami akan membuat pemeriksaan rutin terhadap semua sistem yang beroperasi, menerima dan mengikut arahan daripada pengawal lalu lintas udara dari mula hingga akhir penerbangan.

AZRI: Lebih kurang sama seperti yang dinyatakan oleh Fiq.

Azri ingin melakukan terbaik buat penumpang
Azri ingin melakukan terbaik buat penumpang

Namun, penerbangan saya cuma mengambil masa satu hari dan kebiasaannya ada empat trip. Maksimum perjalan mengambil masa selama enam jam.

Skop kerja yang paling mencabar bagi setiap juruterbang ialah ketika berlepas, pendakian, penurunan dan pendaratan yang mana memerlukan penumpuan penuh agar tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

2. Kedua-dua anda sudah lama bekerja dan pastinya pernah bertugas pada bulan Ramadan. Cabarannya lebih besar atau sama sahaja pada hari-hari lain?

FIQ: Ya, cabarannya sedikit lain. Lazimnya, pada bulan puasa, kita akan berhadapan dengan perubahan musim sesebuah negara itu. Contohnya, sekarang musim panas di bahagian utara, waktu siang akan menjadi lebih panjang dan kita perlu berpuasa lebih lama.

Seperkara, stamina yang diperlukan pada bulan Ramadan juga perlu tinggi. Kita kena sentiasa bertenaga dan cergas.

AZRI: Saya pula berhadapan dengan cabaran waktu berbuka puasa. Adakalanya, ketika masuk waktu, pada masa itulah penerbangan baru berlepas kemudian diikuti dengan pendakian, penurunan dan pendaratan. Situasi itu tidak mengizinkan saya untuk berbuka puasa pada waktu yang tepat.

Azri (tengah) bersama ahli keluarganya
Azri (tengah) bersama ahli keluarganya

Selepas itu, saya hanya minum seteguk air dan meneruskan perjalanan. Saya kena terus fokus demi keselamatan anak kapal.

3. Seawal perbualan, Fiq dan Azri mengatakan pernah ada pengalaman menarik berpuasa dan beraya di awan biru. Boleh kongsikan?

FIQ: Ya, saya masih teringat. Ketika awal penglibatan saya di AirAsia, saya dikehendaki menyertai latihan di Perancis. Kursus itu mengambil masa selama sebulan.

Saya berpuasa dan beraya di sana. Kami mengambil inisiatif meraikan Hari Raya dengan menyediakan juadah seperti rendang, nasi impit dan kuah kacang bagi menghangatkan sambutan Aidilfitri di perantauan.

Saya juga pernah sampai di lapangan terbang pada pagi hari raya. Ketika orang sedang sembahyang raya dan melawat sahabat-handai, saya baru sahaja dalam perjalanan pulang ke rumah di Cyberjaya. Oh! Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu.

AZRI: Pernah suatu ketika dulu, saya dikehendaki bertugas di Johor pada hari raya kedua. Hari raya pertama saya berlalu begitu sahaja kerana pada waktu tengah hari, saya perlu menaiki kapal terbang ke Johor.

Saya tinggal di hotel ketika berada di sana. Ya ALLAH, betapa sedihnya melihat orang lain berpakaian baju raya dan bergembira melawat sanak-saudara tetapi saya pula perlu bekerja.

Hati saya begitu tersentuh berbanding jika kita berada di luar negara kerana orang asing tidak tahu dan tidak kisah dengan perayaan kita.

Selain itu, saya juga pernah sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pagi hari raya pertama, jam 4 pagi. Namun, saya bersyukur kerana masih sempat untuk sembahyang raya di darat. Bukan mudah bekerja di pagi raya.

4. Anda di awan biru ketika lebaran, keluarga pula di kampung masing-masing. Apa reaksi mereka (keluarga)?

FIQ: Latar belakang keluarga saya kebanyakannya terlibat dalam bidang penerbangan. Tidak dapat berkumpul termasuk beraya bersama merupakan satu perkara biasa buat kami.

Boleh dikatakan amat mustahil sepanjang kehidupan kami untuk satu keluarga berkumpul bersama, pasti akan ada ahli keluarga yang tidak ada.

Pada tahun ini, ada berita baik kerana saya dan isteri tidak bekerja. Alhamdulillah, dapatlah kami menyambut Syawal dengan lebih meriah.

AZRI: Insan yang begitu mengharap saya ada bersama meraikan hari raya sudah semestinya ibu.

Saya anak sulung daripada empat beradik, kebiasaannya kami akan beraya di Kedah. Sambutan Aidilfitri di sana memang meriah sangat.

Namun, tugas saya merupakan amanah yang perlu dilangsaikan dan mereka sangat memahaminya. Saya bersyukur untuk itu semua. Bagi saya, ini satu-satunya pengorbanan murni seorang juruterbang boleh lakukan kepada masyarakat dengan membawa penumpang pulang berhari raya.

Bukan kami sahaja perlu bekerja di hari lebaran malah kakitangan AirAsia lain seperti sekuriti, jurutera, pramugara perlu melupakan seketika detik-detik indah meraikan Aidilfitri.

5. Barangkali suasana beraya di awan biru ada kelainan. Lazimnya apa yang dilakukan oleh seorang juruterbang bersama petugas-petugas yang lain?

FIQ: Sebagai juruterbang, kami tidak boleh meraikan sambutan raya, kami perlu fokus kepada tugas kami.

Keselamatan dan keselesaan penumpang keutamaan AirAsia. Namun, apabila kerja sudah habis, kami sesama petugas akan makan bersama. Selalunya, setiap daripada kami akan membawa bekalan makanan.

Menariknya, dalam penerbangan AirAsia X Malaysia, ramai juruterbang terdiri dalam kalangan warganegara Jepun, Korea Selatan dan Indonesia. Mereka begitu teruja menikmati juadah raya seperti nasi impit dan rendang yang dibawa saya.

Mereka akan bertanya itu dan ini. Pertanyaan-pertanyaan itulah yang melenyapkan rasa sedih saya.

AZRI: Pada musim perayaan terutama dalam penerbangan domestik, AirAsia akan memasang lagu-lagu raya dan memberi sampul duit raya.

Kepada mereka yang sudah tahu, AirAsia akan menyediakan menu istimewa pada setiap Hari Raya.

Tahun ini misalnya, syarikat menyediakan Nasi Padang.

Keluarga bahagia Fiq ketika menyambut Syawal
Keluarga bahagia Fiq ketika menyambut Syawal

Sebelum berpisah, kami akan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua penumpang sebelum mereka turun dari pesawat.

Tiada apa yang lebih menggembirakan kami selain melihat wajah kegirangan penumpang yang ingin pulang berhari raya bersama keluarga mereka.

6. Selepas beberapa beraya di awan biru, adakah anda berdua pernah membuat permintaan istimewa kepada keluarga masing-masing untuk beraya seolah-olah berada pada pagi raya pertama?

FIQ: Sudah semestinya. Saya akan minta ibu menyediakan menu kegemaran saya iaitu lontong Jawa, rendang dan sambal sotong.

Kami akan mencari hari terbaik untuk meraikan bersama-sama sanak-saudara di Shah Alam dan keluarga mertua di Rawang. Namun, jika saya terpaksa bertugas dalam tempoh yang lama, saya akan minta keluarga meraikan hari raya lebih awal.

AZRI: Sudah pasti. Saya akan minta ibu saya yang berketurunan India masak capati dan kari. Kuah karinya sangat lazat. Bayangkan, orang kampung akan memenuhi ruang rumah saya semata-mata demi kari dan capati.

Selain beraya dengan ahli keluarga, saya juga akan menziarahi sanak-saudara saya yang ramai di Kedah. Macam biasa, saya akan pastikan mereka menghidangkan menu asam pedas, ketupat daun palas, lontong dan rendang.

ANEKDOT

NAMA PENUH: Azri Sharif Badar Sharif/Azri

UMUR: 33

TARIKH LAHIR: 9 September 1986

ASAL: Kuala Lumpur

JAWATAN: Juruterbang Kanan AirAsia Malaysia

DESTINASI PENERBANGAN: Bangkok, Thailand; Jakarta, Indonesia; Manila, Filipina; Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia dan Guangzhou, China

STATUS: Bujang

PENDIDIKAN: Basair Aviation College, Australia

TAHUN BERTUGAS DI AirAsia: 2016

HOBI: Melancong

UCAPAN HARI RAYA: "Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada keluarga terdekat, rakan sekerja dan penumpang AirAsia di atas sokongan yang diberikan.

"NAMA PENUH: Shafiq Haizam Mohd Kamil/Fiq.

UMUR: 28

TARIKH LAHIR: 23 Februari 1991

ASAL: Bukit Jelutong, Shah Alam

JAWATAN: Juruterbang Kanan AirAsia X Malaysia

DESTINASI PENERBANGAN: Tianjin, China; Fukuoka, Japan; Jeju, Korea Selatan; Amritsar, India dan Melbourne, Australia.

STATUS: Berkahwin

PENDIDIKAN: Asia Pacific Flight Training

TAHUN BERTUGAS DI AirAsia X: 10 Julai 2014 HOBI: Bersenam dan melancong

UCAPAN HARI RAYA: "Saya ingin mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri maaf zahir dan batin kepada keluarga, rakan sekerja, sahabat-handai dan penumpang AirAsia X.