Lot tanah buat pemain, pegawai skuad Liga Super Perak 2018

Adly Shah turut menerima lot tanah yang disampaikan oleh Ahmad Faizal pada majlis yang berlangsung di sini semalam.
Adly Shah turut menerima lot tanah yang disampaikan oleh Ahmad Faizal pada majlis yang berlangsung di sini semalam.
A
A
A

SERAMAI 39 pemain dan pegawai skuad Liga Super Perak 2018 hadir bagi menerima anugerah lot tanah daripada kerajaan negeri hasil kejayaan merangkul Piala Malaysia musim lalu.

Pengurus skuad Liga Super Perak, Datuk Adly Shah Ahmad Tah berharap kejayaan akan terus mewarnai skuad The Bos Gaurus dan anugerah ini akan menjadi pembakar semangat untuk membawa lebih banyak kejayaan pada musim-musim akan datang.

Malah katanya, anugerah berkenaan juga diharap menjadi pendorong kesebelasan skuad The Bos Gaurus untuk terus bersemangat apabila saingan Liga Malaysia (Liga M) bersambung semula selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Saya selaku pengurus pasukan mengucapkan terima kasih atas sumbangan hadiah daripada kerajaan negeri atas kejayaan pasukan membawa pulang Piala Malaysia ke negeri ini.

“Kejayaan ini sekali gus menamatkan penantian selama 18 tahun dan kita harap semoga ia akan berterusan,” katanya di sini semalam.

Adly Shah berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa bersama Anak-Anak Yatim Nurul Iman dan Pemain Liga Super Perak di Laman Seri Ridzuan (Kediaman Lama Menteri Besar Perak).

Dalam majlis itu, Adly Shah turut menerima anugerah lot tanah yang disampaikan oleh menteri besar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Terdahulu, Adly Shah turut menyertai pemain serta pegawai pasukan Perak 2019 meraikan anak-anak dari Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim dan Miskin Nurul Iman di Kampung Manjoi sempena program membeli barangan kelengkapan Hari Raya Aidilfitri di Pasaraya Mydin Meru.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Adly Shah berharap agar kesebelasan skuad The Bos Gaurus bersedia bagi mengharungi baki aksi saingan Liga Super termasuk saingan separuh akhir Piala FA selepas cuti Hari Raya Aidilfitri kelak.

“Kedua-dua saingan ini penting dan kita harap semua pemain kita telah bersedia untuk mengharunginya,” katanya.