Tujuh likur dulu dan sekarang...

No Image Caption
A
A
A

MEREKA menyebutnya ‘malam tujuh likur’, di kampung saya disambut pada malam 27 puasa, setiap Ramadan. Saya masih terlalu kecil, tidak memahami langsung mengenainya.

Orang masjid bercerita pada malam tujuh likur, Lailatulqadar akan turun dari langit. Kalau nasib baik kita akan bertemu dengannya.

Tidak pula dijelaskan bagaimana bentuk dan rupa Lailatulqadar. Tetapi opah memberitahu, antara tanda-tandanya pokok-pokok akan sujud ke bumi, air dalam parit dan telaga akan beku.

Masih budak-budak dan tidak tahu apa-apa, gambaran yang diberitahu opah itu agak menyeramkan, maka saya tidak terfikir untuk bertemu Lailatulqadar. Takut.

Apa pun pada tujuh likur masjid berjamu besar. Setiap rumah dimestikan bawa nasi ambeng untuk sama-sama kenduri selepas solat tarawih.

Seronok betul ramai-ramai makan nasi ambeng, lauk ayam masak kicap, mi, sambal goreng, serunding dan ikan bulu ayam masin. Ada sirap bandung, ada juga karipap.

Bagi saya dan kanak-kanak sebaya, malam tujuh likur bukan sangat mengenai pokok sujud atau air beku, tetapi lebih mengenai nasi ambeng dan sirap bandung. Itu juadah mewah lagi amat dinantikan.

Tujuh likur juga bagaikan kemuncak Ramadan dan kampung terpencil itu dihiasi pelita minyak tanah. Sejak menjelang berbuka puasa semua bagai berlumba-lumba memasang pelita. Maka sepanjang malam kampung tidak berelektrik itu diterangi pelita, alangkah cantiknya.

Artikel Berkaitan:

Balik dari makan nasi ambeng seluruh kampung digamatkan dengan dentuman tidak henti-henti hingga menjelang sahur. Meriam buluh berkarbaid betul-betul menyemarakkan kampung.

Ketika abang-abang, malah tok ki! bermain meriam buluh, anak-kanak berkejaran di halaman rumah, berteriakan sesama sendiri, suka sebab raya semakin hampir.

Dulu-dulu tidak ada mercun, tidak ada bunga api, dentuman meriam buluh adalah satu-satunya bunyi yang meriuhkan kampung yang biasanya sunyi sepanjang malam.

Dengan masing-masing tua-muda asyik berdentam-dentum hingga ke subuh pada malam-malam terakhir puasa, memang pokok tidak sujud, air tidak beku.

Seronok juga pada malam tujuh likur sebab emak pun tidak tidur, bukan menunggu pokok sujud tetapi sibuk membuat kuih raya di dapur.

Tidak ada peralatan moden, kuih semprit, bahulu, tumpi, rempeyek disiapkan menggunakan dapur kayu. Saya ditugaskan menjaga bara api untuk memastikan kuih tidak hangus.

Betapa pun dijaga kadang-kadang semprit hangus juga. Emak membebel, tetapi saya suka sebab semprit atau rempeyek yang hangus itu menjadi habuan saya. Sahur kuih raya.

Paling seronok malam tujuh likur ialah saya mengulangi mengacu baju raya. Baju Melayu emak sendiri jahit sejak awal puasa dan saya telah mencubanya hampir setiap malam pulang daripada tarawih.

Meski tanpa songket, sepasang baju Melayu baharu, songkok baharu, kasut getah baharu, sedap sangat diacu-acu sambil melihat cermin pada malam tujuh likur, macam esok raya!

Hari ini, lebih setengah abad berlalu, kampung saya masih menyambut malam tujuh likur pada 27 puasa. Masih ada nasi ambeng, juga sirap bandung.

Tetapi rasanya kanak-kanak, juga para jemaah, tidak lagi seronok dan seghairah zaman saya dulu. Sebab kini era moden, serba-serbi mewah.

Mereka tidak heran nasi ambeng atau sirap bandung sebab itu bukan lagi sesuatu yang eksklusif, tetapi boleh dimakan setiap hari walaupun bukan musim puasa.

Kampung saya di Hulu Muar yang dulu dianggap solok dan tempat jin bertendang kini menjadi perkampungan moden, sama seperti taman perumahan di Kuala Lumpur.

Sepanjang malam terang benderang dengan neon beraneka warna mengelilingi rumah dan lorong. Masih ada pelita tetapi tidak lagi menggunakan minyak tanah, semua main petik suis.

Tidak ada meriam buluh sebab susah hendak dapat karbaid. Sebaliknya sana-sini dentuman mercun dan percikan bunga api ‘melikurkan’ suasana. Masing-masing juga seronok menonton beraneka program menerusi saluran-saluran TV. Malah ramai yang leka dengan gajet hingga sahur – WhatsApp, FB dan lain-lain ‘kelikuran’ media sosial.

Asyik berhibur dan bergaget-gajet, sekiranya pokok sujud pun mereka tidak sedar!

* Datuk Abd Jalil ialah Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian