Bubur lambuk ‘abang bomba’

Anggota bomba memasak bubur lambuk beramai-ramai sebelum diagihkan kepada orang ramai.
Anggota bomba memasak bubur lambuk beramai-ramai sebelum diagihkan kepada orang ramai.
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Tidak hanya memberikan pertolongan pada saat kecemasan, anggota bomba turut sama menjalankan tanggungjawab sosialnya dengan menjalankan aktiviti untuk masyarakat.

Bagi pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, aktiviti mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai setiap kali Ramadan sudah dimulakan sejak empat tahun lalu.

Ketuanya, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar berkata, untuk tahun ini, 500 bekas bubur lambuk disediakan sebelum diagihkan kepada orang ramai yang melalui hadapan balai bomba itu.

Bubur lambuk dipek sebelum diagihkan kepada orang ramai.
Bubur lambuk dipek sebelum diagihkan kepada orang ramai.

“Bagi menjayakan program ini, 25 orang anggota balai dan dari ibu pejabat bersama-sama bergotong-royong memasak sejak jam lapan pagi lagi.

“Menariknya, tahun ini kita buat sedikit kelainan dengan memasak bubur lambuk versi Pulau Pinang atas permintaan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu, Mohamad Shoki Hamzah,” katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, hari ini.

Sementara itu, anggota bomba, PB Rozi Sidek yang bertindak sebagai tukang masak berkata, antara kelainan bubur lambuk versi Pulau Pinang adalah rempahnya seakan-akan nasi sup.

Selain itu, ia hanya mengandungi nasi dan rencah, berbanding bubur lambuk Terengganu yang biasanya diletakkan banyak sayur-sayuran.

Artikel Berkaitan:

“Tahun ini kita buat tiga jenis, iaitu bubur lambuk ikan, bubur lambuk daging lembu dan bubur lambuk daging kambing atas permintaan ramai.

“Seronok sebenarnya memasak beramai-ramai, tambahan pula ia adalah program tanggungjawab sosial kami. Hasil tangan ‘abang bomba’ ini boleh turut dinikmati orang ramai,” katanya.