Isu parkir bawah tanah Dataran Mutiara bakal selesai

Laporan mengenai penutupan parkir basemen di Dataran Mutiara, Seri Kembangan yang disiarkan Sinar Harian pada 3 Mei lalu.
Laporan mengenai penutupan parkir basemen di Dataran Mutiara, Seri Kembangan yang disiarkan Sinar Harian pada 3 Mei lalu.
A
A
A

SUBANG JAYA - Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan mengadakan mesyuarat bersama pemaju dan pihak pengurusan bangunan di Dataran Mutiara, Seri Kembangan susulan isu penutupan kawasan tempat letak kereta di ruang bawah tanah di situ sejak lebih sebulan lalu.

Timbalan Pengarah Perancang Bandar MPSJ, Hazman Mohd Mahayudin berkata, mesyuarat itu akan diadakan dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian terbaik untuk masalah tersebut termasuk kerap banjir terutama ketika hujan lebat.

"Banjir turut menyebabkan kereta yang diparkir di situ tidak dapat dibawa keluar dan rosak. Jadi MPSJ terpaksa tutup parkir tersebut atas faktor keselamatan.

"Bangunan itu belum diambil alih oleh MPSJ dan kita serahkan kepada pihak pengurusan untuk selesaikan masalah teknikal termasuk pam rosak dan sebagainya di parkir tersebut, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Bulanan MPSJ di Ibu Pejabat MPSJ di sini hari ini.

Menurutnya, setelah ia dibaiki, MPSJ akan lihat sama ada bangunan itu sesuai untuk diambil alih atau tidak.

Terdahulu, isu itu dibangkitkan oleh Ahli Majlis MPSJ, Mohan Singh Surtar Singh dalam mesyuarat bulanan ekoran beliau menerima banyak aduan daripada wakil peniaga di situ yang mengatakan mereka terpaksa parkir berlapis di kawasan berhampiran bangunan.

Keadaan itu juga menyebabkan kesesakan di kawasan tersebut dan Mohan turut menggesa MPSJ untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun MPSJ belum ambil alih bangunan tersebut, pada saya majlis tetap ada bidang kuasa untuk buat tindakan, tak boleh lepas tangan.

"Saya harap mesyuarat antara MPSJ dengan pemaju dan pihak pengurusan di situ dapat dibuat secepat mungkin sebelum hari raya bagi membincangkan kaedah terbaik menguruskan perkara itu," katanya.

Isu banjir dan penutupan parkir basemen di Dataran Mutiara, Seri Kembangan antara perkara yang dibangkitkan ahli majlis dalam Mesyuarat Bulanan MPSJ hari ini.
Isu banjir dan penutupan parkir basemen di Dataran Mutiara, Seri Kembangan antara perkara yang dibangkitkan ahli majlis dalam Mesyuarat Bulanan MPSJ hari ini.

Pada 3 Mei lalu, Sinar Harian turut melaporkan rata-rata kakitangan beberapa buah syarikat pembinaan yang terlibat dengan projek MRT di kawasan Dataran Mutiara runsing selepas hampir sebulan kawasan tempat letak kereta aras bawah di situ ditutup tanpa sebab yang kukuh sejak 2 April 2019.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Kami tak ada tempat untuk parkir'

Difahamkan penutupan dibuat oleh MPSJ sehari selepas insiden banjir yang menyebabkan ruang bawah tanah di situ dinaiki air.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi sebelum ini mendapati parkir berkenaan dipenuhi sampah dan lumpur akibat banjir malah tiada penyelenggaraan atau kerja-kerja pembersihan dibuat.

Selain itu, pengadang konkrit turut diletakkan MPSJ di bahagian pintu masuk dan keluar ruang bawah tanah itu.

Kawasan berhampiran dipenuhi kereta yang diletakkan secara berlapis sehingga menyukarkan kenderaan lain untuk lalu atau berhenti, malah menyebabkan kesesakan teruk.

Beberapa kakitangan di situ juga turut disaman polis dan MPSJ kerana terpaksa parkir di kawasan tiada petak serta di tepi jalan utama.