MBJB terima 6,156 aduan dalam tempoh lima bulan

Amran (tengah) pada sidang media selepas Mesyuarat Penuh Bilangan 5 Tahun 2019 di sini hari ini.
A
A

JOHOR BAHRU - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menerima 6,156 aduan daripada orang ramai sehingga 26 Mei 2019.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Amran A Rahman berkata aduan berkaitan teknikal yang diuruskan Jabatan Kejuruteraan MBJB merekodkan bilangan paling tinggi.

"Sehingga 26 Mei, MBJB terima 6,156 aduan terdiri daripada jalan raya, kerosakan lampu, parkir, penjaja, kacau ganggu haiwan dan lain-lain lagi.

"Statistik menunjukkan, Jabatan Kejuruteraan terima jumlah aduan tertinggi dengan 41.34 peratus kerana kebanyakan aduan berkaitan teknikal seperti kerosakan lampu jalan, jalan raya, sistem saliran air," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Penuh Bilangan 5 2019 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Jabatan Penguatkuasaan menerima 19.3 peratus aduan dan Jabatan Landskap 15.85 peratus.

Menurut Amran, hampir 70 peratus aduan dikemukakan telah diselesaikan dan bakinya sedang dalam tindakan.

"Daripada 70 peratus aduan yang telah diselesaikan itu hampir 82 peratus daripadanya diselesaikan dalam tempoh kurang 15 hari manakala 18 peratus aduan lagi diselesaikan dalam tempoh 15 hari.

"Penyelesaian aduan yang melebihi 15 hari adalah disebabkan proses-proses yang perlu dilaksanakan sebelum langkah penyelesaian jangka panjang diambil melibatkan kos mahupun projek besar," katanya.

Selain itu, menurut Amran saluran aduan melalui media sosial menjadi pilihan orang ramai selain melalui ahli-ahli majlis MBJB sendiri.

Sementara itu pada sidang media, Amran memaklumkan pihaknya akan bertoleransi dengan kenderaan yang diparkir tidak mematuhi undang-undang di kawasan pentadbirannya sepanjang musim perayaan, minggu hadapan susulan pertambahan kenderaan memasuki bandaraya ini

Namun tegasnya, pengguna perlu memastikan kenderaan yang diparkir tidak menghalang lalu lintas.

"Kita faham Johor Bahru akan sesak dengan pertambahan kenderaan masa Aidilfitri nanti. Kalau tidak mengganggu lalu lintas kita bagi ruang.

"Mungkin kawasan parkir tak cukup, jadi nak parkir tepi jalan dan sebagainya, kita timbang rasalah tapi mesti pastikan tak halang lalu lintas," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia