KKM rampas RM180,080 ubat seludup dari Bangladesh, India

Noor Hisham
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) merampas produk kesihatan tidak berdaftar bernilai RM180,080 yang diseludup dari Bangladesh dan India dalam serbuan di klinik dan farmasi yang didalangi warga asing.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, serbuan dijalankan hasil risikan ke atas dua premis di sekitar Lebuh Pudu dan Jalan Silang, Kuala Lumpur.

Menurutnya, serbuan tersebut dijalankan pada 26 Mei lalu oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Ibu Pejabat KKM bersama Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, modus operandi mereka ditukar di mana produk tersebut disorok, disimpan dan diselindungkan di tempat-tempat yang sukar diakses di sebalik pelbagai produk makanan dan barangan am.

“Waktu operasi juga diubah ke hujung minggu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, penjualan produk kesihatan yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Orang awam boleh menyemak status dan nombor pendaftaran MAL sesuatu produk melalui laman sesawang http://npra.moh.gov.my ATAU dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400 di samping memastikan label Hologram Meditag pada pembungkusannya,” jelasnya.