X

Kindly register in order to view this article
!

Mahkamah batal waran tangkap Hasanah

Hasanah Abdul Hamid
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan waran tangkap terhadap Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia, Datuk Hasanah Abdul Hamid susulan gagal hadir dalam satu tarikh sebutan minggu lepas.

Keputusan itu dibuat Hakim Collin Lawrence Sequerah selepas mendengar hujahan pasukan peguambela dan pendakwa raya dalam satu prosiding hari ini.

Dalam keputusan itu Collin memerintahkan tertuduh dan salah seorang penjaminnya untuk hadir pada setiap kali pengurusan kes.

Pada prosiding itu Datuk Shaharudin Ali yang mewakili Hasanah memaklumkan, anak guamnya tidak hadir pada prosiding pengurusan kes minggu lalu disebabkan pihaknya sendiri 'terlepas pandang' tarikh berkenaan

"Anak guam saya tidak dimaklumkan mengenai pengurusan kes itu dan pada masa sama pihak kami pada berpendapat tertuduh tidak perlu hadir," katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad memberitahu mahkamah bahawa kehadiran tertuduh adalah perlu meskipun hanya pengurusan kes berdasarkan Seksyen 172B Kanun Prosedur Jenayah.

Pada 24 Mei lalu, mahkamah sama mengeluarkan waran tangkap ke atas Hasanah kerana gagal hadir pada prosiding tersebut tanpa alasan munasabah.

Pada 25 Oktober 2018, Hasanah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan.

Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus