Bayi perempuan meninggal dunia disyaki dipukul bapa

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KANGAR - Seorang bayi perempuan berusia enam bulan meninggal dunia selepas dipercayai dipukul bapa dalam kejadian di kediaman mereka di Kampung Baroh, Jalan Santan, Ngulang, di sini.

Dalam kejadian Sabtu lalu itu, berlaku pertengkaran antara suspek dan isterinya kira-kira jam 2 petang kerana dikatakan dia enggan mengambil ubat.

Suspek kemudian bertindak menampar muka bayinya itu.

Dua hari kemudian, ibu mangsa nekad melarikan diri bersama keempat-empat anak berusia dua hingga tujuh tahun termasuk bayinya ke rumah rakan suspek di Jalan Arau Jejawi, Arau kerana bimbang kejadian berulang.

Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd berkata, bagaimanapun bayi tersebut disahkan meninggal dunia di rumah berkenaan kira-kira jam 3.24 petang semalam oleh pasukan perubatan dari Unit Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah Kangar.

"Mayat bayi berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, susulan itu, polis telah menahan suspek berusia 44 tahun di Arau kira-kira jam 4 petang, semalam.

Katanya, suspek yang memiliki rekod dadah itu akan direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

"Semakan lanjut mendapati, suspek pernah beberapa kali mendapat rawatan sakit mental di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar. Siasatan juga mendapati suspek telah berkahwin dengan ibu bayi berkenaan di Thailand pada tahun 2011 dan tiada sebarang dokumen pendaftaran pernikahan dilakukan di Malaysia.

"Malah mangsa bayi berkenaan juga dilahirkan di Hospital Ranong, Thailand pada November tahun lalu," katanya.